Batu Pahat: Seorang wanita maut apabila kenderaan yang dinaikinya bergesel dengan sebuah bas sebelum terbabas ke kiri jalan di Jalan Bukit Batu – Bukit Kelicap, dekat sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, kejadian pada 11.40 pagi itu berlaku apabila pemandu bas bersama tujuh penumpang dalam perjalanan dari Benut ke bandar Batu Pahat cuba mengelak seekor anjing yang melintas dari kiri ke kanan jalan berkenaan.
“Akibat daripada itu, bas berkenaan memasuki laluan bertentangan dan bergesel dengan sebuah kereta jenis Proton Saga dinaiki mangsa yang datang dari arah hadapan menyebabkan keretanya terbabas ke kiri jalan.
“Pada masa sama datang sebuah kereta jenis Perodua Viva yang datang dari arah bertentangan sebelum bertembung dengan bas berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan dekat sini.
Beliau berkata, akibat kemalangan itu, mangsa bernama Nurul Izzah Abdul Jamil, 21, yang duduk di bahagian penumpang belakang kereta Proton Saga mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Manakala, pemandu kereta berkenaan, Muhammad Shamril Rafiz Abdul Rahman, 23, mengalami kecederaan di bahagian muka dan tangan.
“Turut cedera pemandu kereta Produa Viva, Siti Aminah Md Nor, 34, serta dua orang anaknya Md Aisy Yusoff Teh Kamarudin, 3 tahun dan Md Qareesh Rayyan Teh Kamarudin, 2 tahun,” katanya.
Katanya, mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk urusan selanjutnya, manakala, semua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk diberikan rawatan.
“Pemandu dan semua penumpang tidak mengalami kecederaan serta siasatan dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Polis menasihat semua pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati ketika memandu dan menunggang kenderaan masing-masing,” katanya.
Sumber: My Metro