Maut terjatuh ketika pasang lampu jalan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Jertih: Seorang lelaki maut selepas terjatuh daripada tangga di pijaknya ketika memasang lampu jalan di Kampung Panchor, dekat sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, mangsa Al Hassanul Bisri Mohamad, 32, dari Kampung Pasir Badak disahkan meninggal dunia akibat cedera di kepala.

Beliau berkata, polis menerima maklumat daripada rakan mangsa berhubung kejadian itu pada 9.20 malam.

“Mangsa difahamkan terjatuh daripada tangga disandarkan pada tiang diletakkan di atas kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Triton ketika memasang lampu jalan di Kampung Panchor.

“Beberapa anggota dari Balai Polis Pasir Akar ke lokasi kejadian dan mendapati mangsa berada di atas tanah di bawah tiang lampu elektrik di hadapan sebuah rumah.

“Pemeriksaan luaran ke atas tubuh mangsa mendapati ada kesan luka di bahagian belakang kepala dan mayatnya dihantar ke Unit Forensik Hospital Daerah Besut untuk bedah siasat,” katanya.

Abdul Rozak berkata, hasil laporan bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan kecederaan di bahagian kepala akibat terjatuh dari tempat tinggi.

Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Sementara itu, rakan mangsa, Mohd Nuraridzuan Ishak, 35, berkata, arwah suka menolong orang dan berani naik ke tempat tinggi untuk melakukan kerja tanpa rasa gayat.

“Sebelum ini saya ada meminta bantuannya untuk memasang lampu jalan di situ, tetapi kerana dia sibuk, kerja itu beberapa kali tertangguh.

“Arwah sampai pada 7.50 malam selepas berbuka puasa sebelum memaklumkan dia tersilap bawa tangga yang lebih pendek.

“Saya sampai pada 8 malam untuk melihatnya membuat kerja dan dia mahu letakkan tangga atas Mitsubishi Triton supaya mudah untuk memasang lampu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nuraridzuan berkata, dalam tempoh beberapa minit dia terdengar bunyi benda jatuh dan melihat mangsa sudah berada di atas tanah.

Menurutnya, arwah baru sahaja pulang ke kampung untuk berpuasa bersama keluarga kerana sebelum ini bekerja di Dungun.

Katanya, mereka berkawan sejak zaman sekolah menengah dan arwah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pasir Badak pada 11 pagi hari ini.

Sumber: My Metro