Kuantan: “Walaupun terlalu pahit diterima, saya tetap reda dengan ujian Allah ini apabila penyakit saraf kronik yang menyerang, mengubah segalanya.
“Saya tidak mampu berdiri dan berjalan, pergerakan semua anggota sukar dikawal disebabkan kejang. Pertuturan tidak lancar dan kurang jelas,” kata Ainatun Nadrah Napiah, 32.
Anak ketiga daripada empat beradik itu berkaa, dia tidak pernah menduga penyakit saraf kronik yang menyerang arwah emak serta neneknya sebelum ini, kini berlaku pada dirinya.
Katanya, penyakit itu mula menyerangnya tujuh tahun lalu, bermula daripada jari tangan kiri yang kejang dan kini hampir seluruh anggota sukar digerakkan dengan sempurna, manakala pertuturan tidak lancar dan tersekat.
“Tidak ada sebarang tanda penyakit berkenaan akan menyerang saya terutama ketika belajar di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Mersing, Johor seterusnya melanjutkan pengajian di peringkat ijazah di Universiti Teknologi MARA (UiTM) cawangan Kelantan.
“Saya menjaga arwah emak ketika dia sakit hingga akhir hayatnya, selepas itu penyakit saraf kronik mula menyerang saya secara berperingkat hingga kini.
“Lima tahun lalu penyakit misteri itu turut menyerang adik bongsu saya, Ahmad Ikmal, 30 dan keadaannya lebih serius,” katanya yang sebelum ini menetap di Taman Datuk Rashid, Jalan Pintasan Kuantan-Pelabuhan, di sini.
Dia yang kini menetap di Kompleks Asnaf Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu (MUIP), di sini, berkata, seorang lagi abangnya kini turut menghidap penyakit sama, namun keadaannya tidak terlalu serius manakala seorang lagi abangnya tidak diserang penyakit itu dan menetap di Johor.
Ainatun Nadrah yang kini ketiadaan ibu dan bapa berkata, dia dan adik kini menumpang berteduh di Kompleks Asnaf MUIP bersama warga emas dan keadaan di situ selesa dan memuaskan.
“Saya reda dengan ujian berat diterima ini. Sebagai hamba saya hanya mampu berdoa setiap hari pada Yang Maha Esa semoga saya, abang dan adik diberi kesembuhan dan kembali normal. Sungguh berat ujian kami terima ini.
“Ramadan kali ini saya perbanyakkan amal ibadah sambil berdoa dan merayu pada Allah untuk memberi suatu keajaiban, saya ingin kembali sihat seperti suatu ketika dahulu,” katanya yang sudah empat tahun tinggal di Kompleks Asnaf MUIP.
Sementara itu Pengurus Kompleks Asnaf MUIP, Nor Rosyidah Mohamed Tahir berkata, pihaknya memberi sepenuh perhatian terhadap kebajikan Ainatun Nadrah dan adiknya yang mengalami masalah kesihatan.
“Setiap bulan mereka dibawa berjumpa doktor di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) bagi mendapatkan rawatan serta mengambil ubat.
“Malah, kami terharu dengan penderitaan dialami dua beradik berkenaan,” katanya.
Sumber: My Metro