Dihasilkan hanya pada Ramadan, kuih nekbat jadi buruan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

BACHOK – Setiap kali ketibaan Ramadan, kuih tradisional ‘nekbat’ yang dihasilkan menggunakan tiga bahan utama iaitu putih telur itik, tepung gandum dan air pasti menjadi buruan penggemarnya.

Seorang pengusaha Nafisah Yunus, 60, dari Kampung Merabang Kubang Golok, di sini berkata kuih yang dihasilkan setahun sekali itu memerlukan kekuatan tenaga untuk ‘renjok’ atau ‘kepuk’ (memukul) telur secara berterusan tanpa henti menggunakan peralatan khas selama 10 minit.

Bercakap kepada Bernama, Nafisah berkata menghasilkan nekbat memerlukan ketelitian dan perlu pandai ‘melembutkan tangan’ terutama ketika membancuhnya bersama tepung gandum bagi mendapatkan nekbat yang cantik dan kembang.

“Setelah telur siap dikepuk, ia kemudian dibancuh bersama tepung gandum dan air.

“Sama seperti menghasilkan bahulu, nekbat kemudiannya dibakar menggunakan acuan tembaga serta menggunakan bara dan api yang terhasil daripada sabut kelapa yang dibakar diletakkan di bawah dan atas acuan tersebut,” katanya yang sudah 15 tahun berpengalaman membuat kuih nekbat.

Bercerita lanjut, Nafisah yang dibantu suaminya Abdul Rahim Kadir, 64, serta tujuh pekerja berkata nekbat dibakar dalam tempoh kira-kira 10 hingga 12 minit.

“Sebaik sahaja masak, ia perlu diangkat segera dan terus dimasukkan ke dalam air gula. Proses perlu cepat bagi mengelak nekbat ‘masuk angin’ selain membolehkan ia mengembang dengan cantik sebaik sahaja dimasukkan ke dalam air gula,” kata ibu kepada empat cahaya mata ini.

Nafisah berkata beliau menjual nekbat pada harga RM2 untuk lima biji dan menghasilkan kira-kira 9,000 biji untuk tempoh sebulan puasa.

Nafisah turut berkongsi bagaimana seorang pelanggannya membuat tempahan nekbat untuk dibawa ke Jepun, dua tahun lepas.

“Pernah seorang pelanggan menempah nekbat kering sebanyak RM150 untuk dimakan selama tempoh sebulan berpuasa di negara matahari terbit itu,” katanya.

Selain nekbat, Nafisah turut menghasilkan kira-kira 15 jenis kuih lain seperti akok kedut, tepung gomak, puteri mandi, kuih badak, beko, puding, sanggupal (kuih sagu) dan ghepak (inti kacang dicicah kelapa parut muda).

Sumber: Bernama