Tindakan undang-undang terhadap individu rosak, alih kawat duri

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Tawau: Tindakan undang-undang akan diambil terhadap individu tidak bertanggungjawab yang merosakkan harta benda polis termasuk kawat duri dan tali rentang yang dipasang di beberapa laluan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, individu yang melakukan kesalahan itu boleh disiasat mengikut Kanun Keseksaan, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2020 serta Akta Polis 1967.

“Pemasangan kawat duri serta tali rentang di beberapa laluan tertentu menandakan kawasan itu ditutup dan sebagai peringatan tegas kepada orang awam bahawa jalan itu tidak boleh dilalui sepanjang PKP dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Beliau juga meminta orang awam melaporkan kepada polis jika terserempak atau melihat pihak tidak bertanggungjawab dengan sengaja mengalih atau merosakkan sebarang peralatan milik Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Peter berkata demikian ketika mengulas isu beberapa gambar tular di media sosial menunjukkan kawat duri serta tali rentang yang dipasang polis di laluan ditutup di sini sepanjang PKP dipercayai dirosakkan individu tidak bertanggungjawab.

PKP di Tawau dilaksanakan dari 3 April hingga 16 April lalu sebelum dilanjutkan bermula 17 April hingga 30 April ini.

Sumber: My Metro