New Delhi: India merekodkan lebih 2,000 kematian akibat Covid-19 dengan hampir 300,000 kes baharu dalam tempoh 24 jam.
Ia antara angka tertinggi pernah dicatatkan di seluruh dunia sejak tercetusnya pandemik itu.
Data kementerian kesihatan menunjukkan 295,000 kes baharu dalam 24 jam setara dengan angka yang direkodkan di Amerika Syarikat (AS) pada Januari.
Angka 2,023 kematian itu menjadikan jumlah kematian di negara itu sebanyak 182,553.
Dalam ucapan pada malam Selasa, Perdana Menteri, Narendra Modi memaklumkan India yang mempunyai 1.3 bilion penduduk itu sekali lagi berdepan perang besar.
“Situasi terkawal hingga beberapa minggu lalu sebelum gelombang kedua Covid-19 datang seperti ribut,” kata Modi.
Biarpun bandar di India sesak dan rawatan kesihatannya di tahap buruk, India berjaya menghindari wabak yang sudah membunuh lebih dari tiga juta orang di seluruh dunia pada awalnya.
Namun, berlaku perhimpunan besar-besaran sejak beberapa minggu kebelakangan ini yang dihadiri jutaan orang ramai seperti festival keagamaan Kumbh Mela, himpunan politik serta majlis perkahwinan dan pertandingan kriket.
Menurut laporan akhbar, pengeluaran ubat-ubatan untuk penyakit akibat jangkitan Covid-19 perlahan atau dihentikan di beberapa kilang dan terdapat kelewatan berhubung bidaan kilang penghasilan tong oksigen.
Kini, ada ahli keluarga dipaksa untuk membayar harga yang terlalu tinggi di pasaran gelap untuk ubat-ubatan dan bekalan oksigen, manakala kumpulan WhatsApp dibanjiri ramai individu yang meminta bantuan.
Susulan keadaan semasa, Amerika Syarikat (AS) menyarankan penduduknya tidak melakukan perjalanan ke India, termasuk bagi mereka yang sudah menerima dos vaksin lengkap.
Britain pula sudah meletakkan India ke dalam senarai merah.
Hong Kong dan New Zealand juga mengambil langkah berhati-hati dengan melarang penerbangan dari India.
Sumber: My Metro