COVID-19: Nilai R-naught turun 1.12, Kelantan masih tertinggi

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR: Kadar kebolehjangkitan atau R-naught (Rt) COVID-19 di Malaysia, terus mencatat penurunan untuk dua hari berturut-turut.Angka itu menurun kepada 1.12 pada Sabtu berbanding 1.13 hari sebelumnya.

Bagaimanapun, Kelantan masih merekodkan nilai tertinggi pada 1.40.

Negeri dan wilayah lain yang mencatatkan Rt tinggi melebihi angka 1.0 termasuk Kuala Lumpur (1.24), Melaka (1.18), Negeri Sembilan (1.15), Selangor (1.14) dan Sarawak (1.13).Kadar kebolehjangkitan yang tinggi turut direkod di Pahang (1.13), Johor (1.10), Sabah (1.06), Kedah (1.05), Terengganu (1.05), Putrajaya (1.05).

Sementara itu, Perak (0.98) dan Pulau Pinang (0.95) mencatatkan kadar Rt di bawah angka 1.0 manakala Perlis dan Labuan masing-masing mencatatkan satu dan sifar kes baharu COVID-19.

Setakat ini, kadar kebolehjangkitan terendah yang pernah direkodkan sejak pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) 13 Januari lalu ialah 0.81 pada 3 Mac.

Manakala yang tertinggi pernah dicatatkan ialah 1.19 pada 17 April lalu.Nilai Rt merujuk kepada tahap kebolehjangkitan sesuatu virus, iaitu berapa ramai individu yang boleh dijangkiti oleh satu kes positif.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Sabtu melaporkan 2,717 kes baharu COVID-19 dikesan.

Sumber: AWANI