SHAH ALAM – Aktivis Fahmi Reza dibebaskan dengan jaminan polis setelah ditahan dan memberikan keterangan berhubung siasatan tuduhan hasutan.
Menurut laporan Malaysiakini, peguamnya, Yohendra Nadarajan mengesahkan pembebasan anak guamnya dari Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada jam 5.50 petang Sabtu.
“Fahmi dibebaskan dengan jaminan polis.
“Dia telah merekodkan keterangan sekitar tengah hari sehingga sekitar jam 3 petang hari ini (Sabtu),” katanya pada Ahad.
Pada Jumaat, Huzir memaklumkan Fahmi Reza atau nama sebenarnya Fahmi Reza Mohd Zarin ditahan di sebuah lokasi di ibu negara oleh sepasukan anggota JSJ Bukit Aman.
Penahanan ke atas suspek dibuat susulan satu laporan polis yang diterima berkaitan satu hantaran menggunakan akaun Facebook Fahmi Reza yang didapati menghina Raja Permaisuri Agong.
Hantaran itu mengandungi sekeping gambar Raja Permaisuri Agong dengan perkataan ‘This is dengki ke?’
Siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (UJST), Bahagian D5, JSJ Bukit Aman mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
SUMBER: Sinar Harian