RM1.5 juta diperuntukkan bantu golongan memerlukan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuala Nerus: Eastern Pacific Industrial Corporation (EPIC) Berhad memperuntukkan RM1.5 juta setiap tahun bagi membantu golongan kurang bernasib baik, ibu tunggal dan warga emas di Terengganu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Saabi Wahab berkata, peruntukan disalurkan menerusi Program EPIC Cakna dan Prihatin bermula 2019 itu adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat untuk membantu golongan memerlukan termasuk mereka terkesan akibat pandemik Covid-19.

“Program ini bermula di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang sebelum berkembang ke DUN lain di Terengganu dan kami menyasarkan untuk membantu antara 40 hingga 50 keluarga di setiap DUN.

“Selain bantuan barangan keperluan asas dan wang tunai, kami turut menyumbangkan peralatan kesihatan seperti katil atau kerusi roda.

“Ini adalah program ke-12 dan setakat ini, lebih 700 keluarga menerima manfaat dan kami akan memperluaskan program ini ke daerah lain di seluruh Terengganu bagi membantu golongan memerlukan,” katanya ketika ditemui selepas Program Cakna dan Prihatin 2021 DUN Tepoh di perkarangan Masjid Kampung Jeram Hulu, Pengkalan Gelugor, di sini, hari ini.

Pada program itu, seramai 50 keluarga di sekitar kawasan Kampung Jeram Hulu, Pengkalan Gelugor menerima bantuan barangan keperluan harian dan wang tunai disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Integrated Marine Works Sdn Bhd, Datuk Bajuri Besar dan Pengurus Besar Operasi Sabasun HyperRuncit Sdn Bhd, Syamsul Mohd Yusof.

Sementara itu, Hishamuddin memuji usaha EPIC Berhad bersama pihak Integrated Marine Works Sdn Bhd dan Sabasun HyperRuncit Sdn Bhd yang melaksanakan program berkenaan ketika ramai terkesan akibat Covid-19.

Sumber: My Metro