KPDNHEP kompaun 21 peniaga di Terengganu

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuala Terengganu: Seramai 21 peniaga dikenakan kompaun atas pelbagai kesalahan sejak awal Ramadan pada Selasa minggu lalu hingga semalam.

Ia termasuk tujuh peniaga dikenakan kompaun atas kesalahan mengikut Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2021.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu, Saharuddin Mohd Kia berkata, peniaga itu dikenakan tindakan kerana menjual barangan terkawal melebihi harga maksimum ditetapkan.

Beliau berkata, selain melakukan kesalahan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011, seramai 13 peniaga dikenakan tindakan mengikut Akta Timbang Sukat dan satu kes membabitkan kesalahan Akta Perlindungan Pengguna.

“Nilai keseluruhan kompaun dikenakan atas tiga kesalahan itu berjumlah RM2,650.

“Semua kesalahan itu dilakukan peniaga terbabit sejak hari pertama Ramadan, Selasa minggu lalu hingga semalam,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, tinjauan bersama pasukan penguat kuasa KPDNHEP di tapak Pasar Tani Hiliran, di sini, mendapati peniaga menjual 11 barangan harga kawalan SHMMP lebih rendah daripada ditetapkan.

Tinjauan mendapati daging lembu dijual pada harga antara RM32 sekilogram sedangkan harga ditetapkan di bawah SHMPP adalah RM34 sekilogram.

Daging ayam standard dijual pada harga RM7.90 sekilogram manakala ikan selayang dan tongkol dijual pada harga antara RM12 dan RM10 sekilogram.

Sumber: My Metro