Kompaun masjid: Pegawai kesihatan ikut garis panduan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuantan: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang mempertahankan tindakan pegawai jabatan itu mengeluarkan kompaun kepada pengurusan Masjid Sri Maulana, Pekan, baru-baru ini.

Pengarahnya, Datuk Dr Bahari Awang Ngah berkata, pegawai itu menjalankan tugas mengikut garis panduan dan tatacara sedia ada.

Katanya, pegawai berkenaan juga menjalankan amanah yang diberikan dengan penuh hemah dan sempurna.

“Sebarang usaha memperkecilkan tindakan dan prosedur terbabit boleh diertikan sebagai mencabar peruntukkan undang-undang yang diwartakan,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Sehubungan itu, Bahari berkata, JKN Pahang mengambil perhatian berhubung dengan mesej di media sosial berkaitan isu pengeluaran kompaun di Masjid Sri Maulana.

“JKNP sudah membuat laporan polis berhubung perkara itu untuk tindakan lanjut,” katanya.

Baru-baru ini, Masjid Sri Maulana dikenakan kompaun RM10,000 kerana didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pihak berkuasa.

Berdasarkan notis yang dikeluarkan Pejabat Kesihatan Daerah Pekan, masjid berkenaan gagal menyediakan kod QR MySejahtera dan buku pendaftaran seperti ditetapkan.

Susulan itu, tindakan kompaun dikeluarkan diatas nama Pengerusi Jawatankuasa Masjid atas kesalahan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Sumber: My Metro