Kuantan: Hasrat seorang pemandu lori membeli Honda City terpakai dengan harga murah tidak kesampaian malah kerugian RM14,850 selepas diperdaya penjualan kereta tidak wujud di Facebook.
Mangsa berusia 56 tahun berminat membeli kenderaan itu selepas dimaklumkan rakannya mengenai penjualan Honda City berharga RM9,200 pada Januari lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa menghubungi seorang lelaki yang dikenali Mr Yong bagi urusan pembelian kenderaan itu.
Menurutnya, suspek memaklumkan mangsa hanya perlu membayar RM6,200 kerana pihaknya memberi potongan kepadanya sempena Tahun Baharu Cina.
“Selepas bersetuju, mangsa diminta membuat pembayaran bagi penempahan kereta, urusan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan pelbagai urusan lain,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, mangsa membuat lapan transaksi ke dalam tujuh akuan berbeza berjumlah RM14,850 pada 9 Februari hingga 30 April lalu.
“Pada Ahad lalu, suspek sekali lagi menghantar satu pesanan menerusi aplikasi WhatsApp meminta RM1,000 bagi urusan penghantaran kereta. Bagaimanapun, mangsa tidak mempunyai wang untuk membuat pembayaran.
“Mangsa seterusnya bertanyakan suspek berkaitan kereta dibelinya namun suspek menyekat nombor telefon. Mangsa merasa tertipu dan hadir membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh, semalam,” katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.
Sumber: My Metro