KOTA BHARU, 8 Mei – Bermula esok, semua gerai dan aktiviti penjaja di tepi jalan termasuk penjaja beredar di Kelantan dilarang beroperasi bagi mengelakkan perkumpulan orang ramai yang merupakan penyebab utama penularan wabak COVID-19 di negeri itu.
Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan dalam kenyataan hari ini memaklumkan situasi semasa COVID-19 di Kelantan kini menunjukkan kadar kebolehjangkitan tinggi dan pada tahap yang sangat membimbangkan.
“Aktiviti yang dikenal pasti menarik perkumpulan orang ramai pada masa ini adalah gerai atau penjaja tepi jalan, penjaja beredar dan seumpamanya yang dilihat tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN),” demikian menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, kadar kematian akibat COVID-19 di Kelantan juga sudah melebihi 50 orang dengan purata kematian lebih kurang empat orang sehari.
Memandangkan keadaan yang penuh risiko ini, kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Kelantan terpaksa bertindak segera bagi mengelakkan perkumpulan orang ramai di satu-satu tempat, menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, para peniaga dan masyarakat dinasihat agar mematuhi arahan itu bagi mengelakkan dikenakan tindakan.
“Bersama-samalah kita berdoa semoga Allah SWT segera mengangkat ujian pandemik COVID-19 ini daripada terus meningkat di negeri Kelantan khususnya dan Malaysia amnya agar kita dapat menjalani kehidupan seperti biasa,” menurut kenyataan itu.
SUMBER: Sinar Harian