Kenderaan masuk Terengganu meningkat 25 peratus

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Jertih: Jumlah kenderaan yang memasuki Terengganu menjelang Aidilfitri, Khamis ini meningkat 25 peratus daripada 15,000 pada hari biasa kepada 18,771 kenderaan.

Ketua Polis negeri, Datuk Roslee Chik berkata, pertambahan lebih 3,000 kenderaan di Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) dikesan sejak dua tiga hari lalu dari pantai barat antaranya Selangor, Kuala Lumpur serta pantai timur iaitu Pahang dan Kelantan.

“Antara alasan popular digunakan untuk merentas sempadan seperti atas urusan perniagaan, tuntutan kerja, menghantar dan mengambil anak, menziarahi orang tua uzur selain kematian,” katanya ketika ditemui di sekatan jalan raya (SJR) di Kampung Tok Saboh di sempadan Terengganu-Kelantan di sini, hari ini.

Beliau turut mengiringi Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memantau sebahagian daripada 26 laluan tikus terdapat di sepanjang daerah ini dan Pasir Puteh, Kelantan.

Roslee berkata, sehingga kini lapan individu dikompaun RM5,000 atas kesalahan merentas negeri tanpa kebenaran.

Katanya, antara kesalahan sering dilakukan masyarakat bagi merentas sempadan Terengganu dan Kelantan termasuk mengemukakan surat kebenaran lama yang sudah luput tarikh.

“Kawalan dan pemantauan lebih ketat kini dilaksanakan di semua 26 laluan tikus di sempadan Besut, Terengganu dan Pasir Puteh menjelang Aidilfitri.

“Selain itu 135 pasukan ditambah kepada 150 pasukan pematuhan membabitkan 1,000 petugas termasuk polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) memantau penduduk negeri ini menyambut Aidilfitri mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Samsuri berkata, rakyat perlu mengambil iktibar peningkatan ketara kes jangkitan Covid-19 di pantai barat.

Beliau berkata, situasi di Terengganu masih terkawal dan rakyat perlu sentiasa patuh pada SOP untuk mengelakkan jangkitan terus merebak ke tempat lain.

Sumber: My Metro