Pemandu lawan arus atas jambatan dicari

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuala Selangor: Polis mengesan pemandu kereta Proton Wira Aeroback yang memandu secara melawan arus di atas Jambatan Kuala Selangor (Kilometer 47.8 Jalan Klang-Teluk Intan), di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 11.30 pagi.

“Anggota polis daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor melihat video berdurasi 24 saat di Facebook I Love Kuala Selangor.

“Seorang individu tidak dikenali menunjukkan sebuah kereta Proton Wira Aeroback bergerak melawan aliran trafik di atas Jambatan Kuala Selangor.

“Dalam video terbabit, terdapat individu menyebut nombor pendaftaran kereta iaitu ‘WJR 3170’ jenis Proton Wira Aeroback berwarna hijau,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Susulan itu, Ramli berkata, pengadu membuat laporan supaya siasatan dijalankan terhadap pemandu kereta itu.

Beliau berkata, semakan nombor pendaftaran mendapati kereta itu didaftarkan di atas nama seorang wanita yang beralamat di Kuala Lumpur.

“Untuk itu, pegawai dan dua anggota menuju ke alamat pemilik yang didaftarkan ke atas kenderaan itu.

“Manakala hasil pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati tiada kamera litar tertutup (CCTV).

“Kami turut mengesan individu yang memuat naik video terbabit di Facebook dan kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Terdahulu, tular video menunjukkan pemandu kereta memandu di laluan bertentangan di jambatan itu dan kejadian dipercayai berlaku hari ini.

Sumber: My Metro