Kota Bharu: Sebanyak 366 lagi kenderaan yang cuba memasuki Kelantan di tiga sekatan jalan raya (SJR) di sempadan negeri, diarah berpatah balik dalam tempoh 24 jam sehingga 8 pagi, hari ini.
Ia menjadikan keseluruhan 1,426 kenderaan yang diarah berpatah balik sejak kelmarin sehingga pagi tadi kerana gagal mengemukakan surat kebenaran daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).ADVERTISING
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, jumlah kenderaan yang cuba memasuki Kelantan sedikit menurun berbanding kelmarin, namun tetap berlaku kemasukan memandangkan Aidilfitiri semakin hampir.
Katanya, pihaknya akan memperketatkan sekatan di SJR di tiga sempadan iaitu Jeli, Pasir Puteh dan Gua Musang bagi memastikan hanya mereka yang mempunyai surat kebenaran sah dibenarkan masuk.
“Kita tidak menyangka setiap masa ada cubaan perantau untuk masuk ke Kelantan demi menyambut Aidilfitri di kampung halaman walaupun mereka tahu larangan rentas negeri.
“Mereka tetap ingin mencuba nasib walaupun terpaksa memandu beratus kilometer untuk sampai di SJR di Kelantan.
“Bagaimanapun, cubaan rentas negeri ke Kelantan hari kedua menunjukkan sedikit penurunan berbanding hari pertama. Mungkin disebabkan ramai yang tahu sekatan ketat dilakukan,” katanya ketika dihubungi.
Shafien berkata, pihaknya mengingatkan orang ramai supaya tidak cuba melakukan rentas negeri semata-mata untuk menyambut Aidilfitiri.
“Sekali lagi saya ingatkan, kita akan membuat pemeriksaan terperinci bagi mengelak mereka mengambil kesempatan,” katanya.
Sumber: My Metro