Kuantan: Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) mengeluarkan 106 notis perintah hadir ke Mahkamah dengan nilai kompaun RM18,000 terhadap pemilik premis dan pengendali makanan yang didapati gagal mematuhi Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009.
Tindakan berkenaan diambil hasil Operasi Ramadan 2021 di seluruh negeri itu bermula 13 April lalu hingga semalam.
Pengarah JKNP Datuk Dr Bahari Awang Ngah berkata, antara kesalahan yang dikesan termasuk pengendali makanan berkenaan tidak mengikuti kursus keselamatan makanan, tidak mempunyai suntikan anti tifoid dan tidak mematuhi kehendak pakaian serta kebersihan diri pengendali makanan.
Menurutnya, dua premis makanan kotor diarah tutup mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1985 bagi kerja pembersihan.
Katanya, sepanjang operasi yang dijalankan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan JKNP dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah itu, sebanyak 2,042 premis diperiksa membabitkan 2,023 premis makanan dan 19 premis pembekal ais.
“Secara keseluruhannya kita dapati 1,982 atau 97.8 peratus premis berkenaan berada pada tahap memuaskan aspek amalan kebersihan dengan markah purata tahap amalan kebersihan lebih 80 peratus.
“Selain itu, seramai 4,341 pengendali makanan sudah diperiksa dan seramai 3,991 orang atau 91.9 peratus mempunyai suntikan anti tifoid, manakala 3,778 (87.2 peratus) menghadiri kursus keselamatan makanan,” katanya melalui satu kenyataan hari ini.
Dr Bahari berkata, operasi itu dijalankan bertujuan memastikan produk makanan di pasaran selamat dimakan dan mematuhi kehendak Peraturan-Peraturan Makanan 1985, Akta Makanan 1983.
Menurutnya, walaupun dalam suasana pandemik Covid-19 yang menyaksikan ekonomi peniaga terjejas, aspek keselamatan makanan perlu sentiasa dititikberatkan.
“Kita menggesa supaya golongan peniaga sentiasa mematuhi peraturan demi memastikan keselamatan makanan dan kesihatan orang ramai tidak terjejas.
‘Kita tidak ingin melihat peniaga dikenakan tindakan undang-undang hanya kerana kecuaian sendiri hingga menyebabkan mereka menanggung kerugian,” katanya.
Sumber: My Metro