TERDAPAT pelbagai jenis makanan yang sebenarnya mampu menjadi ubat kepada masalah kolesterol tinggi.
Salah satu makanan yang mampu menurunkan kadar kolesterol seseorang adalah buah-buahan dan sayur-sayuran.
Dengan menambahkan makanan ini dalam menu setiap hari, kadar kolesterol seseorang lebih mudah dikawal selain mengurangkan risiko penyakit jantung, angin ahmar dan kanser.
Buah-buahan dan sayur-sayuran juga kaya akan vitamin, mineral, antioksidan yang penting menjaga kesihatan dan mencegah penyakit.
Tidak hanya itu, kedua-dua jenis makanan ini tidak mengandungi lemak dan rendah kalori selain serat yang membantu menghambat penyerapan kolesterol dari usus ke saluran darah.
Secara dasarnya, buah-buahan dan sayur-sayuran baik untuk dimakan tetapi beberapa kajian membuktikan ada jenis tertentu yang efektif menurunkan kolesterol.
Untuk buah-buahan, yang paling baik adalah avocado, epal, anggur, limau, strawberi dan pir, manakala sayuran pula seperti kacang bendi, terung, lobak merah, kentang, kangkung, bayam dan brokoli.
Cara menurunkan kolesterol tinggi dengan buah dan sayuran
Menambahkan buah-buahan dan sayuran dalam pemakanan akan memberi kesan signifikan dalam menurunkan kolesterol tinggi dengan mengambil lima bahagian setiap hari.
Bagi mendapat kesan yang baik, ambil sekitar 80 gram atau segenggam buah atau sayur setiap kali makan dan sebaik-baiknya pilih yang segar dan bukannya sudah diproses.
Jika dibuat sebagai jus, jangan sesekali menambah gula kerana ia akan menghilangkan semua khasiat yang ada pada buah dan sayur.
Paling penting, jangan tinggal ubat yang diberikan doktor selain melakukan senaman secara kerap.
Sumber: mStar