PKT prihatin, sumbang barangan keperluan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuala Terengganu: Prihatin dengan nasib golongan kurang bernasib baik, Politeknik Kuala Terengganu (PKT) sekali lagi turun padang menghulurkan bantuan menerusi program Sekampit Beras Sekilo Gula yang diadakan setiap kali Ramadan.

Program yang memasuki tahun kelima itu menyantuni 100 penerima terdiri dalam kalangan penuntut PKT, pekerja pembersihan, pengawal keselamatan serta golongan kurang bernasib baik di sekitar daerah ini.

Pengarah PKT Dr Mohd Daud Isa berkata, bakul yang mengandungi barangan keperluan harian itu dibeli menerusi kutipan hasil sumbangan daripada warga PKT dan rakan di luar PKT sendiri.

Menurutnya, program berkenaan menjadi platform buat warga kerja PKT dalam membantu meringankan beban golongan kurang bernasib baik seperti ibu tunggal dan golongan asnaf.

“Program ini dimulakan pada 2017 menerusi Jabatan Matematik, Sains dan Komputer bersama Unit Perpustakaan PKT, ia akan diteruskan pada masa akan datang sebagai program tanggungjawab sosial PKT kepada masyarakat setempat.

“Sebenarnya jumlah penerima kita bergantung kepada kutipan yang diterima, jika kutipan banyak, lebih ramai yang akan menerima manfaat.

“Justeru, kita turut mengalu-alukan mana-mana pihak yang mahu bersama PKT pada program sama tahun depan,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan bantuan kepada salah seorang penerima di Kampung Tanjung Paya di sini.

Bagi Halipah Che Muhamad, 64, dia bersyukur apabila menjadi sebahagian daripada penerima sumbangan daripada PKT.

“Terkejut apabila dihubungi pihak PKT yang memaklumkan mahu datang ke rumah kerana mahu menyampaikan barangan keperluan harian.

“Sumbangan ini memang besar maknanya buat kami sekeluarga memandangkan pendapatan saya yang menjual kuih tidak seberapa terutama ketika bulan puasa,” katanya.

Sumber: My Metro