Masyarakat antarabangsa baru-baru ini menyaksikan Israel secara paksa mengusir keluarga Palestin dari kediaman mereka di kawasan Sheikh Jarrah di Jerusalem Timur dan serangan ke perkarangan Masjid Al-Aqsa pada bulan suci Ramadan.
Berikut adalah kronologi dari perspektif sejarah untuk memahami peristiwa dramatik yang menimbulkan keganasan Israel terhadap Palestin meningkat sekali lagi di wilayah yang dijajah:
Selepas pengusiran rakyat Palestin pada tahun 1948 oleh pihak Zionis untuk membuka jalan bagi pembentukan negara Israel, ratusan ribu warga Palestin dipaksa meninggalkan kediaman mereka di Palestin.
Peristiwa ini lebih dikenali sebagai peristiwa “Nakba”, dan mereka yang dihalau keluar iaitu sebanyak 28 keluarga telah berpindah di tempat baru iaitu kawasan Sheikh Jarrah di Timur Jerusalem pada tahun 1956 dengan harapan inilah perpindahan terakhir mereka. Namun malangnya, di sana mereka turut mendapat gangguan seperti biasa.
Pada awal tahun ini, mahkamah Pusat Israel di Baitulmuqaddis Timur telah meluluskan keputusan awal untuk mengusir empat keluarga Palestin dari kediaman mereka di kawasan Sheikh Jarrah yang memihak kepada pihak penduduk Israel.
Mahkamah Pusat Israel pada mulanya ingin mengeluarkan keputusan pengusiran pada hari 6 Mei yang lalu di tengah-tengah berlakunya demonstrasi dan pertembungan yang sengit antara penduduk Palestin dan penduduk Israel, namun keputusan itu ditangguhkan hingga 10 Mei.
Sekiranya mahkamah memutuskan untuk memihak kepada pihak Israel, 4 keluarga Palestin akan kehilangan tempat tinggal. Manakala keluarga lain juga akan menghadapi nasib yang serupa.
Permulaan tragedi
Pada tahun 1956, 28 keluarga pelarian yang kehilangan tempat tinggal semasa Nakba mencapai kesepakatan dengan Kementerian Pembinaan dan Pembangunan Jordan dan agensi pelarian PBB UNRWA untuk menyediakan tempat tinggal untuk mereka di Sheikh Jarrah. Pada waktu itu, Tebing Barat berada di bawah pemerintahan Jordan (1951-1967).
Menurut Gabungan Sivik untuk Hak Palestin di Yerusalem (CCPRJ), pemerintah Jordan menyediakan tanah manakala pihak UNRWA pula menanggung kos pembinaan 28 rumah untuk semua keluarga ini.
“Kontrak telah pun dimeterai antara Kementerian Pembinaan dan Rekonstruksi dan keluarga Palestin pada tahun 1956, yang mana salah satu syarat utamanya menyatakan bahawa syarat pemilikan akan diberikan kepada penduduk setelah tiga tahun pembinaan tamat, “Kata CCPRJ dalam satu kenyataan.
Walaubagaimanapun, pihak pendudukan Israel telah menghalang proses pendaftaran rumah-rumah nama keluarga, kata kenyataan itu.
Reaksi Jordan
Minggu lalu, Kementerian Luar Negeri Jordan menyatakan bahawa pihak mereka telah memberikan 14 perjanjian yang disahkan oleh Kementerian Luar Negeri Palestin bagi penduduk kawasan Sheikh Jarrah di Timur Jerusalem yang mana tindakan tersebut menyokong tuntutan keluarga tersebut ke atas tanah dan harta benda mereka.
Dalam satu kenyataan, kementerian mengatakan pihaknya menyerahkan sijil kepada penduduk yang membuktikan bahawa Kementerian Pembinaan dan Pembangunan Jordan telah membuat perjanjian dengan UNRWA untuk menubuhkan 28 unit perumahan di Sheikh Jarrah untuk didelegasikan dan didaftarkan atas nama keluarga-keluarga ini.
Menurut pernyataan itu, proses itu bagaimanapun terganggu akibat pendudukan Israel di Tebing Barat pada tahun 1967.
Kementerian itu sebelum ini telah memberikan kepada pihak Palestin semua dokumen yang dapat membantu orang-orang Yerusalem mempertahankan hak penuh mereka, termasuk kontrak sewa, daftar nama penerima dan salinan perjanjian yang dimeterai dengan UNRWA pada tahun 1954.
Penderitaan pada tahun 1972
Muhammad al-Sabbagh, seorang penduduk di kawasan kejiranan itu, mengatakan kepada Anadolu Agency (AA) bahawa penderitaan keluarga Palestin bermula pada tahun 1972 ketika Jawatankuasa Sephardic dan Jawatankuasa Knesset Israel mendakwa bahawa mereka memiliki tanah di lokasi rumah-rumah itu dibina 1885.
Pada bulan Julai 1972, dua persatuan Israel meminta pengadilan untuk mengusir empat keluarga dari rumah mereka di kawasan kejiranan itu dengan menggunakan alasan bahawa keluarga tersebuh telah merampas tanah mereka , menurut CCPRJ.
Keluarga Palestin melantik seorang peguam untuk mempertahankan hak mereka, dan pada tahun 1976 keputusan dikeluarkan oleh mahkamah Israel yang memihak kepada pihak mereka.
“Namun, mahkamah dengan menggunakan pendaftaran baru yang dibuat di Jabatan Pendaftaran Tanah Israel, memutuskan bahawa tanah itu milik persatuan penempatan Israel,” kata al-Sabbagh.
Undang-undang apartheid
Pada tahun 1970, Undang-Undang mengenai Urusan undang-undang dan Pentadbiran di Israel telah diiktiraf, di mana undang-undang tersebut menetapkan bahawa, orang-orang Yahudi yang kehilangan harta benda mereka di Timur Jerusalem pada tahun 1948 dapat merebut kembali harta benda mereka.
Gerakan Peace Now Israel mengatakan undang-undang itu tidak membenarkan orang Palestin menuntut kembali harta yang mereka hilang di Israel pada tahun 1948, suatu langkah yang membuktikan adanya undang-undang yang memebezakan Yahudi dan Palestin.
Menurut al-Sabbagh, penduduk Sheikh Jarrah ditipu oleh seorang peguam Israel yang ditugaskan untuk membela mereka.
“Pada tahun 1982, Persatuan Penduduk Israel memfailkan kes pengusiran terhadap 24 keluarga di kawasan Sheikh Jarrah, ” kata al-Sabbagh, sambil menambah bahawa 17 keluarga melantik peguam Israel yang bernama Tosia Cohen untuk membela mereka.
Ketika berlakunya perlawanan undang-undang, al-Sabbagh mengatakan peguam tersebut telah menandatangani perjanjian, pada tahun 1991 tanpa pengetahuan mereka, dan solusinya adalah pemilikan tanah tersebut diserahkan kepada Persatuan Penduduk Israel.
Manakala Penduduk Palestin sebaliknya dikira sebagai status penyewa,” tambah al-Sabbagh.
keluarga Palestin akan mendapat ancaman dihalau keluar jika mereka gagal membayar sewa kepada persatuan persatuan penduduk Israel tersebut.
Pada tahun 1997, Suleiman Darwish Hijazi, seorang penduduk tempatan, mengajukan tindakan undang-undang ke Mahkamah Pusat Israel untuk membuktikan hak milik tanahnya, dengan menggunakan surat hak milik yang dikeluarkan oleh Kerajaan Uthmaniyyah, yang dibawa dari Turki. Namun, tindakan yang sebaliknya berlaku di mana mahkamah menolak tuntutan tersebut pada tahun 2005.
Mahkamah mengatakan bahawa surat-surat tersebut tidak membuktikan hak milik tanahnya dan rayuan Hijazi pada tahun berikutnya ditolak.
Pengusiran bermula
Pengusiran bermula pada bulan November 2008 dimana keluarga al-Kurd diusir dari rumah mereka, kemudian diikuti dengan pengusiran keluarga Hanoun dan al-Ghawi pada bulan Ogos 2009.
Rumah-rumah mereka diambil alih oleh para penduduk Israel dan mereka segera menaikkan bendera Israel. Setakat ini, 12 keluarga Palestin di kawasan kejiranan telah menerima perintah pengusiran yang dikeluarkan oleh mahkamah pusat dan hakim Israel.
Baru-baru ini, empat keluarga Palestin mengajukan petisi ke Mahkamah Agung, badan kehakiman tertinggi Israel, terhadap keputusan untuk mengusir mereka dari rumah mereka. Mahkamah akan memutuskan isu itu pada hari Isnin.
Al-Sabbagh, yang mempunyai keluarga 32 anggota termasuk 10 anak, bimbang akan keputusan mahkamah yang akan menjadikan dia dan keluarganya menjadi pelarian sekali lagi.
Pada tahun 1948, keluarga al-Sabbagh telah meninggalkan rumah mereka di Jaffa, yang kini dihuni oleh orang Israel.
Konflik Palestin-Israel bermula pada tahun 1917, ketika pemerintah Britain, dalam Deklarasi Balfour, menyeru “penubuhan negara Israel bagi orang-orang Yahudi di Palestin.”
Sumber : Daily Sabah