Dua hari, 1,426 kenderaan cuba nasib masuk Kelantan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KOTA BHARU – Walaupun tidak dibenarkan merentas negeri, namun jumlah kenderaan yang cuba memasuki negeri ini bertambah dengan nilai keseluruhan sebanyak 1,426 buah.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, jumlah kenderaan yang diarah patah balik pada Ahad ialah 1,060 buah dan jumlah tersebut bertambah 366 buah sehingga pagi Isnin.

“Mereka didapati mencuba nasib dan kita telah arahkan untuk berpatah balik disebabkan tidak memiliki dokumen permohonan atau surat kebenaran yang diperlukan.

“Jumlah hari kedua ini agak berkurangan mungkin disebabkan oleh berita pun sudah sampai kepada mereka yang cuba merentas.

“Saya nasihatkan supaya mereka yang tidak mempunyai urusan penting tidak merentas negeri ketika ini sebab anda sendiri sudah mengetahui apa tindakan yang akan kami lakukan jika tiada permohonan dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Isnin.

Menurut Shafien, pihaknya sentiasa mempergandakan kawalan terutamanya melibatkan kawasan-kawasan dan daerah ‘hot spot’ kemasukan perantau.

“Kami turut mengesan ada individu yang sengaja memalsukan surat permohonan merentas negeri dan dipercayai untuk pulang beraya.

“Tindakan ini amat mengecewakan kerana masih ada rakyat kita yang bersikap pentingkan diri sendiri dan mengetepikan larangan yang kerajaan keluarkan,” katanya.

SUMBER: Sinar Harian