Rakyat Akur Arahan Kerajaan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KEMAMAN – Semenjak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 diumumkan di seluruh negara semalam, terdapatĀ  penurunan ketara dalam bilangan kenderaan yang memasuki negeri Terengganu.

Ketua Polis Terengganu, DCP Datuk Roslee Chik memaklumkan, pengurangan lebih kurang 12 peratus itu menunjukkan masyarakat memang akur dengan arahan kerajaan untuk tidak merentas negeri.

“Setakat ini, di Terengganu tidak berlaku lagi penyalahgunaan borang rantas negeri.

“Tetapi, ada yang merentas daerah sempadan secara haram di mana di Kemaman sendiri ada sebanyak tujuh lorong tikus telah dikenalpasti yang dicerobohi oleh mereka yang ghairah merentas daerah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sewaktu melakukan tinjauan bersama Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar di Sekatan Jalan Raya (SJR) Hentian Rehat dan Rawat (RnR) Perasing, semalam.

Jelasnya, sebanyak enam kompaun telah dikeluarkan di Besut dan 11 di Kemaman dengan nilai satu kompaun sebanyak RM5,000 akibat rentas sempadan secara tidak sah.

“Untuk maklumat terbaru, di Besut sehingga hari ini kita telah menutup lebih kurang 30 lorong tikus yang digunakan untuk merentas daerah dan negeri.

“Situasi di India perlu dijadikan pengajaran bagi rakyat kita khususnya di Terengganu.

“Kita telah mempelajari PKP sejak tahun lalu, saya rasa masyarakat telah cekap dan mahir apa yang boleh dan tidak boleh dibuat.

“Harapan kami mewakili barisan hadapan, teruskan mematuhi prosedur operasi standard (SOP),” katanya.

Beliau turut menyatakan, sebanyak 25 SJR melibatkan 373 anggota telah didirikan di seluruh negeri.

“Selain itu, kita ada pasukan pematuhan dan pemantauan sebanyak 190 pasukan melibatkan hampir 800 anggota yang akan bergerak di kampung-kampung sepanjang hari raya untuk memastikan masyarakat sentiasa patuh kepada arahan yang dikeluarkan.

“Kita sebagai barisan hadapan amat mengharapkan masyarakat patuh kepada SOP ditetapkan kerana tanggungjawab memutuskan rantaian pandemik ini adalah tanggungjawab bersama,” katanya.

Sumber: TRDI News