Polis nafi kompaun pemilik rumah, tetamu

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuantan: Polis Kuantan menafikan pihaknya mengeluarkan kompaun RM25,000 kepada pemilik kediaman dan RM5,000 pada tetamu di sebuah taman perumahan di daerah ini kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Aidilfitri ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semalam.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, kehadiran anggota polis di taman perumahan pada hari raya pertama hanya untuk melakukan pemantauan SOP.

“Berita mengenai kompaun yang tular itu tidak benar, video dan gambar mengenai kehadiran anggota polis untuk mendapat maklumat mengenai terdapat kumpulan motosikal di satu lorong di taman perumahan berkenaan.

“Bila kita jalankan pemeriksaan didapati ia bukan aktiviti beraya,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Semalam tular beberapa video pendek berdurasi tujuh saat dalam aplikasi WhatsApp mengenai kehadiran beberapa polis di sebuah taman perumahan di daerah ini.

Kelibat anggota polis dilihat menjalankan pemeriksaan terhadap kereta dan motosikal yang terdapat di taman perumahan itu.

Video terbabit menyebabkan warga netizen mendakwa kompaun RM25,000 dikeluarkan pihak polis kepada pemilik kediaman berkenaan dan kompaun RM5,000 pula dikenakan terhadap tetamu.

Beliau berkata, setakat ini, pihaknya tidak mengeluarkan sebarang kompaun ingkar SOP Aidilfitri.

“Orang ramai dilihat patuh dan beri kerjasama dan kita turut menasihatkan rakyat supaya sentiasa mematuhi SOP. Jika tidak perlu untuk keluar, jangan keluar,” katanya.

Sumber: My Metro