SOP Aidilfitri: Bekas Adun Jabi, 3 tetamu dikompaun

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Jertih: Padah ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berhubung larangan aktiviti ziarah pada Aidilfitri, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jabi Mohd Iskandar Jaafar dikompaun RM2,000 kelmarin.

Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, tiga tetamu lelaki yang juga jirannya termasuk orang kurang upaya (OKU) berusia 40 tahun turut dikenakan kompaun.

“Mereka menerima tawaran kompaun itu ketika hadir di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Besut pada 10 pagi kelmarin,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, polis membuka kertas siasatan kelmarin berhubung dakwaan Mohd Iskandar mengadakan majlis rumah terbuka di kediamannya pada hari pertama Syawal susulan tular empat gambar menunjukkan orang ramai termasuk kanak-kanak menikmati juadah.

Sementara itu, Mohd Iskandar menerusi Instagram miliknya menyatakan beliau akan mengemukakan rayuan kepada Pejabat Kesihatan Daerah Besut bagi mengurangkan nilai kompaun yang dikenakan.

Menurutnya, itu akan dikemukakan memandangkan dua daripada tiga tetamunya itu adalah golongan buta huruf dan tiada pendapatan, manakala seorang lagi hanya bekerja sebagai buruh binaan.

“Kesemua ini adalah jiran dan kawan saya sejak kecil, Jusoh yang berusia 51 tahun tidak tahu menulis dan membaca begitu juga Suhaimi, 40, yang sudah tidak bekerja kerana patah lima jari kaki dalam kemalangan pada Ramadan lalu.

“Sebenarnya tiada sebarang penganjuran rumah terbuka sebagaimana ditularkan.

“Sebagai tuan rumah, saya tidak sampai hati menghalang mereka hadir tanpa dijemput,” katanya.

Sumber: My Metro