KOTA BHARU – Polis Kelantan mengingatkan orang ramai yang berada di lokasi terlibat dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKDP) supaya tidak menyelinap keluar dari kawasan terbabit.
Ketua Polis negeri, Datuk Shafien Mamat berkata, penduduk dari luar kawasan pula dilarang memasuki lokasi PKPD kerana ia boleh mendatangkan risiko penularan Covid-19.
“Kekal duduk rumah dan jangan cuba keluar atau lari dari kawasan PKPD. Kurangkanlah pergerakan.
“Kita mahu penduduk terlibat dengan PKPD supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam usaha memutuskan penularan pandemik Covid-19,” katanya kepada pemberita selepas turun padang meninjau pelaksanaan PKPD di Kampung Terusan, Limbat di sini pada Sabtu.
Menurutnya, penduduk juga disaran supaya membuat ujian saringan Covid-19 untuk memutuskan rantaian pandemik Covid-19.
Sementara itu, mengulas mengenai PKPD di Terusan, Shafien berkata, ia melibatkan 1,300 keluarga.
Terusan merupakan lokaliti kelima di Kelantan dikenakan PKPD ketika ini.
SUMBER: Sinar Harian