Rezeki donut ‘gebu’ 30 sen

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Pasir Mas: Alah bisa tegal biasa, itulah pegangan seorang wanita berkerusi roda yang tanpa putus asa belajar menghasilkan donut untuk dijadikan punca rezeki bagi menampung kehidupannya sekeluarga.

Suriati Mat Zin, 44, tidak mampu berjalan akibat kemalangan jalan raya pada 2012 dan mengharapkan tongkat atau kerusi roda untuk bergerak, namun kekurangan pada diri tidak menghalang untuk berniaga kuih demi meneruskan hidup.

Lebih memeritkan, bukan hanya dia yang berkerusi roda, malah suaminya, Zainal Abidin Ayob, 48, menerima nasib sama apabila terbabit kemalangan pada 2017 menyebabkan lumpuh daripada bahagian pinggang ke bawah.

“Hidup kami bagaikan gelap seketika, tambahan pula memikirkan anak tunggal, Aina Zulaikha, 13, yang perlukan kehidupan baik untuk membesar.

“Memikirkan dia, saya kuatkan semangat dan bangkit bekerja di gerai menjual kuih sambil belajar cara membuat kuih supaya boleh berniaga sendiri.

“Alhamdulillah, kini saya boleh menghasilkan donut sendiri serta menghantarnya ke kedai berdekatan setiap pagi sebanyak 100 biji sehari yang dijual dengan harga 30 sen sebiji.

“Setiap hari, saya bangun pada 3 pagi untuk menyediakan bahan selain menguli tepung dengan tangan kerana tanpa mesin berikutan tidak mampu untuk membelinya,” katanya ketika ditemui selepas menerima lawatan wakil Yayasan Raja Shamri (YRS) di rumahnya di Kampung Batu Karang.

Dalam lawatan berkenaan, Wakil YRS, Tuan Zaimah Raja Omar menyampaikan sumbangan kewangan dan mesin pengadun bagi memudahkan kerja Suriati selain berharap agar dia dapat menghasilkan lebih banyak kuih dengan adanya mesin berkenaan.

Suriati yang juga penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan berkata, dia bersyukur dan berterima kasih kerana diberi sumbangan mesin pengadun kerana mengakui ada masanya dia terpaksa ‘bercuti’ daripada membuat kuih kerana lenguh badan.

“Walaupun keadaan fizikal saya dan suami tidak seperti orang lain, kami cuba menjadi ibu bapa yang terbaik buat Aina, selain berharap agar jualan donut ini terus maju pada masa akan datang untuk mengubah kehidupan kami.

“Kalau boleh, saya tidak mahu hanya berharap pada ihsan orang, selagi mampu untuk buat sendiri, saya akan usahakan,” katanya yang mengakui tidak mengikuti rawatan fisioterapi susulan tiada pengangkutan untuk ke hospital.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan bagi meringankan beban keluarga itu boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Bank Islam bernombor 03027020951601 milik Suriati Mat Zin.

Sumber: My Metro