Sekatan pergerakan untuk selamatkan nyawa

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuala Lumpur: Usaha mencegah dan mengawal penyebaran jangkitan Covid-19 masih lagi memerlukan kombinasi antara Program Tindakan Kesihatan Awam oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan tindakan penguatkuasaan kepada pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP).

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, memandangkan kes harian masih membimbangkan, kombinasi kedua-dua langkah penting untuk memastikan orang ramai tidak bertindak sambil lewa sekali gus membantutkan usaha mengurangkan kes.

Beliau berkata, apa yang kerajaan lakukan sekarang iaitu menambah sekatan pergerakan adalah untuk menyelamatkan nyawa orang ramai walaupun ada sebilangan kecil belum dapat menerimanya.

“Walaupun ada kajian menunjukkan pematuhan SOP dalam kalangan rakyat Malaysia masih tinggi, proses penguatkuasaan perlu diperketatkan atau ditingkatkan untuk menyedarkan mereka.

“Malaysia berhadapan gelombang ketiga dan fenomena ini amat membimbangkan sehinggalah merekodkan 6,806 kes pada 20 Mei lalu.

“Pada ketika ini, kadar kebolehjangkitan atau R-naught (Rt/Ro) negara berada pada paras 1.2 berbanding 0.8 yang pernah direkodkan pada pertengahan April 2021,” katanya dalam kenyataan media, kelmarin.

Justeru, katanya, tiada jalan lain lagi boleh dilakukan setakat ini melainkan meningkatkan penguatkuasaan kerana ia sebenar lebih kepada mendidik bukan menghukum semata-mata.

Semalam, beliau mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dengan SOP lebih ketat menyaksikan semua perniagaan kecuali kedai farmasi hanya akan beroperasi dari jam 8 pagi hingga 8 malam berbanding 10 malam sebelum ini.

Kuat kuasa peraturan baharu bermula Selasa ini juga terhadap 80 peratus kakitangan awam yang perlu bekerja dari rumah selain 40 peratus kakitangan swasta untuk patuhi arahan sama.

Beberapa peraturan diperketatkan sekali gus menyekat pergerakan orang ramai keluar dari rumah.

Sumber: My Metro