Tumpat : “Saya tak sangka cerita ini ditokok tambah dan disebarkan tanpa usul periksa sehingga mendatangkan kebimbangan kepada ramai pihak,” kata peniaga ikan di Pasar Sumayyah di sini, Noraini Mohd Noor.
Noraini, 36, dikaitkan sebagai pesakit positif Covid-19 yang didakwa memotong gelang merah jambu dan berniaga seperti biasa di pasar terbabit sebelum menjadi tular sejak kelmarin.
Dia berkata, maklumat itu mulai tersebar berikutan pada pagi kelmarin dia menjalani ujian calitan di Klinik Kesihatan Tumpat kerana diarahkan pihak kesihatan disebabkan kontak rapat dengan bapanya.
“Pada 18 Mei lalu saya sudah menjalani ujian calitan di sebuah klinik kerana kontak rapat bapa namun keputusannya negatif dan tidak dipakaikan gelang merah jambu malah bapa juga negatif.
“Disebabkan itu, saya tetap berniaga tapi tidaklah setiap hari ke sana (pasar) kerana tetap berhati-hati dan kelmarin saya dihubungi pihak kesihatan agar sekali lagi membuat ujian calitan.
“Sebaik selepas menjalani ujian calitan, saya terus pulang ke rumah lebih-lebih lagi apabila dipakaikan gelang merah jambu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Dia yang sudah lebih 10 tahun berniaga ikan berkata, dia tidak tahu apa motif individu yang mula-mula menyebarkan berita tidak sahih itu sehinggakan mengundang kebimbangan pengunjung termasuk peniaga lain di Pasar Sumayyah.
Maklumat itu juga menasihatkan agar orang ramai tidak mengunjungi pasar terbabit kerana mendakwa terdapat kes terbaharu Covid-19.
Katanya, dia juga dihubungi ramai rakan bertanyakan mengenai berita tular itu dan terpaksa menjelaskan secara terperinci kejadian sebenar.
Lebih terkilan, dia turut dikaitkan dengan wanita yang melarikan diri dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Mukim Bunut Susu, Pasir Mas baru-baru ini dan berita palsu itu jelas lebih menakutkan pengunjung untuk ke pasar.
“Jika saya didapati positif (Covid-19), tidak gila untuk saya tetap berniaga dengan memberi risiko diri sendiri dan orang lain apatah lagi untuk memotong gelang merah jambu kerana ia juga berdepan dengan tindakan undang-undang.
“Apalah sangat rugi untuk beberapa hari berniaga disebabkan kuarantin jika dibandingkan dengan keselamatan semua kerana kita berdepan dengan wabak yang tidak nampak di mata kasar, sudah pasti perlu dibimbangi,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud berkata, pihaknya tidak menerima sebarang maklumat berkaitan berita tular berkenaan.
“Setakat ini tiada maklumat yang diterima berhubung perkara ini tapi kami akan menjalankan siasatan lanjut,” katanya.
Sumber: My Metro