KUANTAN, 25 MEI 2021: Kerajaan Pahang merupakan antara negeri terawal mengumumkan Bantuan Prihatin Pahang (BPP) sempena perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dikenakan di seluruh negara bermula hari ini.
Pengerusi Yayasan Anti Rasuah Negeri Pahang, Encik Wan Emril Nizam Wan Embong berkata, ini membuktikan keprihatinan YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy mendahului negeri lain terutama dalam pemberian bantuan kepada rakyat terutama ketika perlaksanaan PKP 3.0 pada hari ini.
Katanya, antara golongan yang terkesan terhadap PKP 3.0 ini adalah golongan muda dan belia yang kebanyakan mereka baru sahaja bangkit semula selepas melalui PKP 1.0 dan PKP 2.0 lalu.
Pengerusi Yayasan Anti Rasuah Negeri Pahang, Encik Wan Emril Nizam Wan Embong
“Kebanyakan mereka ini baru sahaja memulakan perniagaan tetapi terpaksa ditutup semula ekoran perlaksanaan PKP 3.0 dan pastinya mereka mengalami kerugian.
“Jadi harapan saya agar golongan muda dan belia ini dapat dimasukkan di dalam kumpulan sasaran penerima BPP Covid-19 PKP 3.0 ini sebagai golongan terjejas kerana terpaksa menutup perniagaan mereka,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP), hari ini.
Encik Wan Emril Nizam turut menggalakkan golongan muda dan belia ini agar memanfaatkan peluang PKP 3.0 ini dengan menggunakan teknologi sedia ada untuk menjadi sumber pendapatan.
“Kelebihan penguasaan teknologi kini di tangan anak muda yang kreatif dan inovatif, jadi manfaatkan sebaik mungkin bagi menjadi punca pendapatan terutama ketika PKP 3.0 ini,” katanya.
Selain penghantaran makanan, beliau turut mencadangkan agar anak muda kreatif melaksanakan penghantaran barangan keperluan rumah sebagai usaha menggalakkan orang ramai kekal di rumah masing-masing sepanjang perlaksanaan PKP 3.0 ini.
Sementara itu, Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), YH. Dato’ Haji Abdul Fattah Abdullah berkata, Negeri Pahang menerusi kepimpinan YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail sentiasa prihatin dan peka terhadap kesusahan yang menimpa rakyat terutama apabila dikenakan PKP 3.0 ini.
Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), YH. Dato’ Haji Abdul Fattah Abdullah
“Justeru saya sangat menyokong bantuan ini secara bersasar bagi memastikan hanya golongan tertentu yang benar-benar terjejas sahaja menerima bantuan bagi mengelakkan sebarang ketirisan dan pembaziran selain agihan yang lebih adil dan efektif.
“Malah apabila bantuan ini dilaksanakan secara bersasar, golongan penerima dapat menikmati BPP dalam jumlah yang sepatutnya bagi meneruskan kelangsungan hidup,” katanya.
Beliau berkata, BPP COVID-19 kepada rakyat yang terkesan PKP 3.0 ini pastinya terkena tempias kepada 400,000 ahli koperasi di Pahang dan beliau sangat menghargai sumbagan yang pastinya dapat memberi sinar kepada penerima khususnya ahli koperasi yang hilang punca pendapatan ketika PKP 3.0 ini.
Sumber: PAHANGMEDIA