Setelah sebulan berlalunya madrasah puasa bulan Ramadan, pada bulan syawal pula kita dianjurkan untuk berpuasa enam hari. Terdapat banyak kelebihan berpuasa enam di bulan syawal. Antaranya ialah:
1- Berpuasa selama setahun
Daripada Abu Ayyub al-Ansari RA, meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa yang berpuasa Ramadhan, kemudian diiringinya dengan puasa (sunat) enam hari dalam bulan Syawal, itu adalah menyamai seperti berpuasa selama setahun.”
(Riwayat Muslim, Kitab ash-Shiyam, Bab Istihbabu Shaumi Sittati Ayyami Min Syawwalin Ittibaa’an Li Ramadhana , no. 1164)
Firman Allah S.W.T dalam surah Al-An’am ayat 160 :
مَنْ جَاۤءَ بِالْحَسَنَةِ فَلَهٗ عَشْرُ اَمْثَالِهَا ۚوَمَنْ جَاۤءَ بِالسَّيِّئَةِ فَلَا يُجْزٰٓى اِلَّا مِثْلَهَا وَهُمْ لَا يُظْلَمُوْنَ
Maksudnya: Barangsiapa berbuat kebaikan mendapat balasan sepuluh kali lipat amalnya. Dan barangsiapa berbuat kejahatan dibalas seimbang dengan kejahatannya. Mereka sedikit pun tidak dirugikan (dizalimi).
Berdasarkan hadis dan ayat Al-quran ini, dapat kita fahami dengan jelas sifirnya iaitu berpuasa di bulan selama sehari di bulan Ramadan seolah-olah berpuasa selama sepuluh hari. Dengan tambahan enam hari berpuasa pada bulan Syawal, maka jadilah ia 360 hari atau setahun.
2- Pelengkap amalan fardhu
Puasa enam merupakan puasa sunat yang mampu menampung amalan kita , sepertimana Hadis Qudsi:
إنَّ أوَّلَ ما يحاسبُ النَّاسُ بِه يومَ القيامةِ من أعمالِهمُ الصَّلاة قالَ يقولُ ربُّنا جلَّ وعزَّ لملائِكتِه وَهوَ أعلمُ انظروا في صلاةِ عبدي أتمَّها أم نقصَها فإن كانت تامَّةً كتبت لَه تامَّةً وإن كانَ انتقصَ منها شيئًا قالَ انظُروا هل لعبدي من تطوُّعٍ فإن كانَ لَه تطوُّعٌ قالَ أتمُّوا لعبدي فريضتَه من تطوُّعِه ثمَّ تؤخذُ الأعمالُ علَى ذاكُم
Maksudnya: “Sesungguhnya amalan pertama yang dihitung bagi manusia di Hari Kiamat ialah solat. Baginda S.A.W bersabda, Allah S.W.T berfirman kepada para malaikat-Nya sedang Dia lebih mengetahui: Lihatlah pada solat hamba-Ku ini adakah ia telah disempurnakan atau masih ada kurang? Sekiranya sudah sempurna, tulislah sempurna. Sekiranya masih ada kurang, FirmanNya: Lihatlah adakah ada pada hamba-Ku itu amalan-amalan sunat. Sekiranya ada, FirmanNya: Sempurnakanlah bagi hamba-Ku itu amalan fardhunya dengan amalan sunatnya, kemudian dikira amalan-amalan dalam keadaan itu.” (Riwayat al Hakim)
3- Diganjari syurga.
Sepertimana yang kita ketahui puasa itu meningkatkan daya takwa seseorang. Ketakwaan inilah menjadi laluan ke syurga sepertimana Firman-Nya;
وَسِيقَ الَّذِينَ اتَّقَوْا رَبَّهُمْ إِلَى الْجَنَّةِ زُمَرًا حَتَّى إِذَا جَاءُوهَا وَفُتِحَتْ أَبْوَابُهَا وَقَالَ لَهُمْ خَزَنَتُهَا سَلَامٌ عَلَيْكُمْ طِبْتُمْ فَادْخُلُوهَا خَالِدِينَ
Maksudnya: “Dan orang-orang yang bertakwa kepada Tuhan mereka akan dibawa ke syurga dengan berpasuk-pasukan, sehingga apabila mereka sampai ke syurga yang pintu-pintunya sedia terbuka dan penjaga-penjaganya mengalu-alukan mereka dengan kata-kata:” Salam sejahtera kepada kamu, berbahagialah kamu, maka silalah masuk ke dalam syurga ini dengan keadaan tinggal kekal di dalamnya (mereka pun masuk).” (az Zumar: 73)
4- Masuk syurga melalui pintu ar-Rayyan.
Syurga mempunyai beberapa pintu, pintu bagi mereka yang rajin berpuasa ialah pintu ar-Rayyan sepertimana Hadis Nabi S.A.W;
مَن أَنفَقَ زوجَينِ في سبيلِ اللهِ، نودِيَ من أبوابِ الجنةِ: يا عبدَ اللهِ هذا خيرٌ، فمَن كان من أهلِ الصلاةِ دُعِيَ من بابِ الصلاةِ، ومَن كان من أهلِ الجهادِ دُعِيَ من بابِ الجهادِ، ومَن كان من أهلِ الصيامِ دُعِيَ من بابِ الرَّيَّانِ، ومَن كان من أهلِ الصدقةِ دُعِيَ من بابِ الصدقةِ . قال أبو بكر رضي الله عنه : بأبي انت وأمي يا رسول الله ما على من دعي من تلك الأبواب من ضرورة ، فهل يدعى أحد من تلك الأبواب كلها؟ قال : نعم وأرجو تكون منهم.
Maksudnya: “Sesiapa yang membelanjakan harta di jalan Allah, dia akan dipanggil daripada pintu syurga: Wahai hamba Allah ini adalah kebaikan untukmu. Sesiapa yang sentiasa mendirikan solat, dipanggil daripada pintu solat. Sesiapa yang berjihad, dipanggil daripada pintu jihad. Sesiapa yang berpuasa, dipanggil daripada pintu ar-Rayyan. Sesiapa yang bersedekah, dipanggil daripada pintu sedekah. Saidina Abu Bakar R.A berkata: Demi ibu dan ayahku wahai Rasulullah S.A.W. Mereka yang dipanggil daripada pintu-pintu tersebut tidak lagi memerlukan kepada apa-apa. Apakah akan ada seseorang yang dipanggil dari semua pintu. Jawab Baginda S.A.W: Ada, aku mengharapkan engkau termasuk di kalangan mereka.” (Muttafaqun Alaih)
Bolehkah menggabungkan niat puasa?
Fuqaha dalam Mazhab Syafie berselisih pendapat tentang isu menggabungkan niat di antara puasa qadha Ramadhan dan puasa sunat enam hari pada bulan Syawal.
Syaikul Islam Zakaria al-Ansari Rahimahullahu Taala: “Jika seseorang berpuasa pada Bulan Syawal untuk qadha bagi puasa Ramadhan, atau selainnya sama ada puasa nazar atau puasa sunat lain maka terhasil pahala sunatnya. Kerana topik perbincangannya adalah tentang puasa pada 6 hari daripada bulan Syawal…tetapi dia tidak akan memperolehi pahala yang sempurna sebagaimana yang diinginkannya melainkan dengan hanya dia berniat puasa khusus untuk 6 hari pada bulan Syawal sahaja. Terutamanya orang yang telah luput daripadanya puasa Ramadhan kerana tidak sesuai dia berpuasa Ramadhan dan seterusnya berpuasa 6 hari di bulan syawal” (Rujuk Kitab Syarqawi ‘ala al-Tahrir)
Imam Ibnu Hajar Al-Haitami Rahimahullahu Taala dalam mengenai orang yang berniat puasa sunat bersama puasa wajib: “Jika diniatkan keduanya (puasa sunat dan pusat wajib), dia mendapat ganjaran bagi kedua-duanya atau diniatkan salah satu maka gugur tuntutan yang satu lagi dan tidak mendapat ganjarannya.” (Rujuk Kitab Al-Fatwa Al-Kubra, 2/75)
Sebahagian ulama menyebut sah seseorang itu melakukan qadha puasa bulan Ramadhan bersama puasa sunat enam Syawal dan terhasil pahala puasa sunat yang dilakukan di dalam bulan Syawal tersebut. Hal ini kerana diqiyaskan dengan seseorang yang memasuki masjid kemudian solat 2 rakaat fardu atau solat sunat rawatib (mengiringi solat fardu) maka terhasil sekali baginya pahala solat sunat Tahiyyatul Masjid kerana ia melakukan solat berkenaan sebelum ia duduk.
Yang mana satu perlu didahulukan? Qadha’ puasa dahulu atau puasa enam?
Sesiapa yang berbuka puasa pada bulan Ramadhan tanpa sebarang keuzuran wajib ke atasnya menqadhakannya serta merta selepas tamatnya Ramadhan dan selepas selesai hari raya yang pertama. Seseorang itu tidak boleh mendahulukan puasa sunat enam pada bulan Syawal kemudian diekori dengan puasa qadha.
Adapun sekiranya dia tidak berpuasa pada bulan Ramadhan kerana ada keuzuran (yang dibenarkan syarak) maka harus baginya mendahulukan puasa enam pada bulan Syawal daripada puasa qadha kerana qada waktu puasa qadha adalah muwassa` (luas).
Imam as-Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani Rahimahullahu Taala menyebut:
“ (Dan demikian lagi) orang yang tiada puasa dengan uzur sunat dia berpuasa enam hari sunat syawwal melainkan orang yang berbuka puasa Ramadhan dengan tiada uzur maka wajib ke atasnya menyegerakan menqada Ramadhan kerana makruh mengerjakan sunat orang yang ada padanya qada Ramadhan dengan tiada uzur maka wajib menyegerakan qada dahulu.” (Rujuk Kitab Bughyah at- Tullab, hlm. 128)