Kelantan laksana 80 peratus BDR

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kota Bharu: Susulan kes positif Covid-19 yang meningkat di Kelantan, kerajaan negeri melaksanakan dasar Bekerja Dari Rumah (BDR) sebanyak 80 peratus.

Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan Datuk Nazran Muhammad berkata, kehadiran di pejabat pula adalah dengan penggiliran kecuali bagi kakitangan di sektor perkhidmatan perlu dan pasukan barisan hadapan.

Menurutnya, peraturan itu sudah berkuat kuasa sejak 25 Mei lalu dan akan dilaksana ke satu tarikh yang akan diberitahu kelak.

“Waktu operasi perkhidmatan di pejabat bermula 8 pagi hingga 3 petang bagi Ahad sampai Rabu dan 8 pagi hingga 2 petang pada Khamis.

“Pegawai yang bekerja di pejabat perlu terus pulang ke rumah selepas operasi kerana baki jam bekerja dianggap sebagai arahan BDR.

“Perkhidmatan kaunter di seluruh Pejabat Tanah dan Jajahan bermula 9 pagi hingga 12 tengah hari setiap Ahad hingga Khamis.

“Kehadiran ke pejabat bagi proses kerja yang tidak boleh dilaksanakan secara BDR sahaja,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Nazran berkata, kehadiran BDR adalah berdasarkan kepada Pekeliling Perkhidmatan (Persekutuan) Bilangan 5 Tahun 2020 dan Pekeliling Perkhidmatan (Negeri) Bilangan 3 Tahun 2021 Dasar Bekerja Dari Rumah.

Katanya, sebarang pelanggaran salah laku dalam pematuhan BDR akan dikenakan tindakan tatatertib di bawah P.U(A) 395- Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

“Operasi kerajaan negeri berjalan seperti biasa untuk memastikan perkhidmatan kepada rakyat dapat diberi dengan cepat dan tepat.

“Prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara perlu dipatuhi bagi memastikan keluk jangkitan Covid-19 dapat dilandaikan,” katanya.

Sumber: My Metro