18 peratus kanak-kanak di Kelantan dijangkiti Covid-19

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Gambar Hiasan

Kota Bharu: Sejumlah 18 peratus kanak-kanak berusia bawah 12 tahun di Kelantan dijangkiti Covid-19, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin.

Menurutnya, peratusan itu dianggap tinggi setara dengan kadar kebolehjangkitan (Rt) negeri yang meningkat dan rekod harian kes positif juga mencecah tiga angka setiap hari.

Katanya, kanak-kanak boleh dijangkiti dengan dua cara iaitu melalui ibu bapa atau golongan dewasa atau mereka dibawa keluar ke kawasan penularan.

“Jadi, kempen vaksinasi besar-besaran diadakan bermula hari ini dan kita menjangkakan beberapa hari lagi (Jun) bekalan vaksin dalam jumlah banyak akan tiba di Kelantan, termasuk memenuhi permintaan penerima vaksin yang sudah mendaftar pada Februari dan Mac lalu.

“Selain itu, kita juga akan gerakkan (bawa) vaksin turun padang ke kampung-kampung, isi pendaftaran manual dan (penerima boleh) terus dapatkan vaksin di lokaliti terpilih.

“Ia bagi memberi peluang warga emas, orang kelainan upaya (OKU) dan sebagainya untuk turut sama tidak ketinggalan dapatkan suntikan ini,” katanya ketika ditemui ketika melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Ketereh di Dewan Majlis Daerah Ketereh-Perbandaran Islam di sini, hari ini.

Dr Izani berkata, lokaliti pertama pemberian vaksin secara terus itu dijangka di Kampung Badang, di sini memandangkan penularan kes Covid-19 di situ antara yang tertinggi di Kelantan.

Dalam pada itu, beliau memberitahu hanya 5.2 peratus rakyat Kelantan sudah mengambil dos pertama dan kedua berikutan bekalan vaksin di peringkat awal.

“Kita juga merekodkan 12,000 pendaftar vaksin gagal hadir janji temu membabitkan warga emas khususnya di Kota Bharu,” katanya yang berharap masyarakat mendapatkan maklumat tepat dan mengambil langkah sewajarnya demi kepentingan semua.

Beliau berkata, pihaknya menyasarkan pemberian vaksin lebih cepat terutama di PPV daerah ini untuk membolehkan tahap imuniti negeri dicapai sekurang-kurangnya 80 peratus.

Ketika ini katanya, PPV sedia ada mampu memberi suntikan kepada 400 hingga 500 penerima setiap hari.

Sumber: My Metro