Ibu hamil, menyusukan anak boleh kemas kini MySejahtera

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuala Lumpur: Ibu hamil dan menyusukan anak kini boleh mengemas kini status mereka melalui aplikasi MySejahtera untuk mendapatkan vaksin Covid-19.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata, golongan terbabit sudah boleh memasukkan bulan dan tahun kelahiran bayi menerusi ciri baharu dalam MySejahtera.

“Ibu mengandung dan menyusu kini boleh mengemas kini status mereka di MySejahtera.

“Anda boleh memasukkan bulan dan tahun kelahiran atau status penyusuan,” ciapnya di akaun Twitter miliknya hari ini.

Beliau yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) berkata, janji temu vaksinasi akan dibuat berdasarkan vaksin yang sesuai di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) tertentu.

Khairy pada sidang media sebelum ini memaklumkan ciri baharu aplikasi MySejahtera bagi mengenal pasti ibu hamil dan ibu menyusu akan diperkenalkan pada hujung minggu ini.

Beliau dilaporkan berkata, pemberian vaksin untuk golongan itu disyorkan untuk ibu yang hamil antara 14 hingga 33 minggu.

Katanya, vaksin Pfizer disyorkan diberikan kepada ibu hamil dan menyusu, manakala setakat ini vaksin keluaran AstraZeneca hanya akan diberikan kepada ibu menyusu saja.

Sumber: My Metro