Lelaki dikehendaki di Pahang, ditahan di Pendang

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Pendang: Seorang lelaki yang dikehendaki polis di Pahang kerana disyaki terbabit dengan kes curi akhirnya ditahan polis di daerah ini, semalam.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, lelaki berusia 40 tahun itu ditahan 10.45 pagi oleh sepasukan anggota polis dari Balai Polis Kubur Panjang yang melakukan tugas pematuhan Covid-19 serta rondaan cegah jenayah di Kampung Sungai Siput, Kubur Panjang.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan pada Mykad lelaki itu mendapati, dia dikehendaki polis kerana laporan kes kecurian di Pahang.

“Pemeriksaan lanjut terhadap motosikal dinaiki suspek itu mendapati ia adalah motosikal curi.

“Hasil soal siasat awal, lelaki itu mengaku mengambil dan membawa motosikal itu dari Pahang ke PendanG,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Arriz Sham berkata, polis menangkap suspek dan merampas motosikal berkenaan untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 379(A) Kanun Keseksaan dan Seksyen 269 Kanun Keseksaan.

“Selain itu, kes turut disiasat di bawah Peraturan 15 Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2020 kerana merentas daerah dan negeri tanpa dokumen rentas negeri.

“Bagaimanapun kes itu diserahkan kepada polis Kontinjen Pahang untuk tindakan lanjut, ” katanya.

Sumber: My Metro