Kota Bharu: Peningkatan kes Covid-19 secara mendadak di Kelantan menyebabkan penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) sudah mencapai tahap maksimum.
Pengarah HRPZII Datuk Dr Selasawati Ghazali berkata, katil di wad biasa kini terpaksa dijadikan wad Covid-19.ADVERTISING
Pada masa sama, menurut beliau, pihaknya masih perlu menerima pesakit lain termasuk ibu bersalin dan pesakit yang perlu menjalani pembedahan.
“Persediaan ICU bukan sahaja untuk menampung kes Covid-19 malah kes lain yang memerlukan kami menyediakan prasarana lebih baik.
“Kami bercadang untuk bekerjasama dengan Hospital Pakar Perdana (KPJ Perdana) dan Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian untuk menghantar pesakit bukan Covid-19 yang memerlukan rawatan, terutamanya pesakit yang ditempatkan di ICU.
“Dalam situasi yang mencabar sekarang, kami perlu meningkatkan kapasiti katil ICU yang mana wad biasa ataupun wad separa kritikal turut dijadikan wad ICU bagi menampung jumlah pesakit Covid-19,” katanya hari ini.
Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan pelitup muka di lobi HRPZII di sini.
Terdahulu, Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah Dan Perumahan Malaysia (Rehda) Kelantan Datuk Samsuri Awang Mat menyerahkan pelitup muka kepada Dr Selasawati untuk diagihkan kepada petugas barisan hadapan di HRPZII.
Menurut Dr Selasawati, pihaknya perlu lebih bersedia untuk menerima lebih banyak kes membabitkan pesakit yang memerlukan alat bantuan pernafasan.
Mengulas lanjut, Dr Selasawati berkata, beliau berharap, pelaksanaan sekatan pergerakan penuh membantu meredakan kes Covid-19 selain membolehkan orang ramai kekal di rumah selain mengurangkan pergerakan.
“Apabila sekatan pergerakan penuh dilaksanakan, kita boleh memberi sepenuh perhatian untuk menangani dan merawat pesakit Covid-19,” katanya.
Sumber: My Metro