LSD: JPV periksa 81,252 lembu

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuantan: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) bertindak memeriksa 81,252 lembu di 9,108 ladang selepas terdapat tanda 89 haiwan berkenaan dijangkiti penyakit kulit kental (LSD).

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Norlizan Mohd Noor berkata, pihaknya memandang serius wabak penyakit berkenaan dan usaha mengesan serta menyekat penularan giat dilakukan di seluruh negara.

Menurutnya, semua JPV negeri sudah diarahkan untuk mula mengaktifkan program pengawasan bagi mengesan, mengawal serta mencegah penularan penyakit LSD pada ternakan lembu di seluruh negara terutama di kawasan berisiko tinggi.

Katanya, syarat mengimport lembu hidup juga akan diperketatkan lagi supaya tiada lembu mengidap penyakit ini memasuki negara.

“Kita akan bekerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) dalam memperkemaskan lagi kawalan di semua pintu masuk negara. Tindakan tegas akan dikenakan terhadap konsainan lembu import yang menunjukkan gejala penyakit LSD di stesen kuarantin.

“JPV memohon kerjasama pemain industri termasuk pengimport, peraih dan penternak lembu supaya segera menghubungi pejabat perkhidmatan veterinar negeri dan daerah berdekatan sekiranya mengesyaki ternakan lembu di dalam jagaan atau kandang mereka menunjukkan gejala penyakit LSD,” katanya menerusi kenyataan, semalam.

Menurutnya, walaupun LSD tidak menyebabkan kematian yang tinggi pada ternakan tetapi ia memberi kesan ekonomi kepada industri dan kerugian kepada penternak akibat penurunan pengeluaran susu pada lembu tenusu, penurunan berat badan, keguguran dan kemandulan kepada lembu pejantan.

“Penyakit LSD tidak zoonotik iaitu tidak menjangkiti manusia. Sehubungan itu, JPV menafikan gambar individu yang tular dengan gejala di bawah mata disebabkan jangkitan LSD,” katanya.

Sumber: My Metro