Polis Terengganu guna dron kesan suhu badan tinggi

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuala Terengganu: Polis Terengganu menggunakan dron bagi mengesan individu dengan suhu badan melebihi 37.5 darjah Celsius di tempat awam sepanjang pelaksanaan sekatan pergerakan penuh (SPP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa berkata, dron yang dilengkapi teknologi pengimbas itu mampu mengesan suhu badan dalam kelompok manusia pada jarak 20 meter dari udara.

Menurutnya, dron itu mula digunakan sejak tiga hari lalu di sekitar bandar raya ini yang dikendalikan sebuah syarikat swasta bagi membantu pasukan pemantau terutama di lokasi tumpuan awam.

“Kita sudah menetapkan suhu 37.5 darjah Celsius pada dron itu dan sesiapa yang melebihi suhu itu, ia akan menyalakan lampu merah dan anggota penguat kuasa akan ke lapangan untuk mengesan individu yang bergejala itu.

“Kita ada 157 pasukan pemantau di seluruh Terengganu tetapi kita tidak dapat memantau sepenuhnya setiap premis atau lokasi yang menjadi tumpuan memandangkan mereka ini bergerak.

“Jadi, penggunaan dron ini sedikit-sebanyak membantu kita melakukan pemantauan prosedur operasi standard (SOP) ketika pelaksanaan PKP 3.0, ” katanya ketika ditemui selepas melakukan pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKP 3.0 di Jambatan Sultan Mahmud di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Rohaimi berkata, penggunaan dron yang turut dilengkapi pembesar suara pernah digunakan ketika PKP 1.0 namun ia digunakan untuk membuat pengumuman kepada orang ramai.

Katanya, penggunaan dron kali ini lebih kepada tindakan penguatkuasaan untuk mengenal pasti pelanggaran SOP dalam kalangan masyarakat.

Sumber: My Metro