Pejabat JSJ Pahang alami kebakaran kecil

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuantan: Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pahang yang terletak di tingkat tiga Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini, mengalami kebakaran kecil hari ini.

Timbalan Ketua Polis Pahang Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, kejadian disedari pada 4.15 petang oleh anggota bertugas yang melihat kepulan asap hitam dari pejabat terbabit.

“Kebakaran berlaku di sebuah ruangan pejabat JSJ, bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana tiada pegawai atau anggota sedang bertugas semasa kejadian.

“Setakat ini, kita mengesyaki ia berpunca daripada litar pintas atau masalah pendawaian namun punca sebenar hanya akan diketahui selepas siasatan forensik bomba selesai,” katanya kepada Bernama di lokasi kejadian.

Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Ismail Abdul Ghani pula berkata, kejadian berlaku di bahagian tengah tingkat itu dan pihaknya berdepan kesukaran ekoran asap tebal menyukarkan penglihatan.

Beliau berkata, tiga jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuantan, Indera Mahkota dan Taman Tas terbabit dalam operasi memadam kebakaran itu.

Sumber: My Metro