Tambah PPV bergerak di pedalaman

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuala Terengganu: Kerajaan negeri bercadang menambah pusat pemberian vaksin (PPV) bergerak di kawasan pedalaman bagi memudahkan masyarakat terutama warga emas dan orang kurang upaya (OKU) mendapat suntikan vaksin.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, PPV yang membabitkan 50 petugas itu akan digerakkan dalam masa terdekat.

Katanya, PPV itu turut berperanan menyedarkan masyarakat mengenai kepentingan pengambilan vaksin.

“Ini kerana mereka mudah terpedaya dengan pelbagai hasutan dan dakwaan vaksin Covid-19 boleh mendatangkan pelbagai penyakit sehingga membawa maut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Hanafiah yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (Adun) Chukai berkata, sehingga Ahad lalu, seramai 139,779 orang penduduk di negeri ini sudah mendapatkan suntikan termasuk 89,110 dos pertama manakala 50,669 dos kedua.

Katanya, seramai 365,700 rakyat sudah mendaftar untuk mendapatkan vaksin.

“Jika dilihat mereka yang mendaftar termasuk melalui aplikasi MySejahtera masih rendah berbanding negeri lain.

“Justeru, kerajaan negeri bersama Jabatan Kesihatan negeri (JKNT) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) negeri akan berusaha memberi kesedaran kepada masyarakat supaya mendapatkan vaksin termasuk membuat hebahan menggunakan pelbagai saluran,” katanya.

Sumber: My Metro