KETENGAH lantik sukarelawan daftar vaksin

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU: Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) melantik 200 sukarelawan bagi membantu penduduk di kawasan pedalaman mendaftar sebagai penerima vaksin COVID-19, sejak pelaksanaan sekatan pergerakan penuh bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Pengerusi Ketengah Senator Datuk Razali Idris, berkata sukarelawan daripada skuad KETENGAH Ambik Cakne itu membantu mendaftarkan penduduk melalui sistem MySejahtera atau secara manual.

Bagi tujuan itu, beliau berkata mereka mengunjungi setiap rumah penduduk terbabit dengan dibayar elaun antara RM 80 hingga RM 100 sehari.

Hasil inisiatif itu, katanya kira-kira 31,500 atau 45 peratus daripada 70,000 penduduk di kawasan pedalaman wilayah KETENGAH sudah berjaya didaftarkan sejak awal bulan ini.

Di samping itu, beliau berkata skuad sukarelawan berkenaan turut diminta membantu Jabatan Kesihatan Terengganu (JKNT) untuk mengesan nama penduduk yang sudah mendaftar tetapi gagal menghadiri janji temu di Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

“Hingga kini, hanya 10 peratus daripada 31,500 penduduk di kawasan pedalaman wilayah KETENGAH telah menerima suntikan dos pertama, namun tidak hadir mendapatkan suntikan dos kedua.

“Kita akan bekerjasama dengan JKNT untuk mendapatkan senarai nama penduduk yang tidak hadir mendapatkan suntikan dos kedua vaksin itu.”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyantuni tukang kasut tradisional yang terkesan susulan pelaksanaan PKP 3.0 di sekitar bandar raya Kuala Terengganu, di sini, semalam.

Razali yang juga Ahli Dewan Negara, turut mengagihkan bantuan melalui peruntukan khas senator sebanyak RM 300 kepada setiap tukang kasut tersebut.

Mengulas lanjut, Razali berkata pihaknya menyasarkan 80 peratus penduduk di kawasan pedalaman wilayah KETENGAH memperoleh suntikan vaksin COVID-19 menjelang Ogos depan.

Sumber: Berita Harian