Dua pusat PKRC di Kelantan henti kemasukan pesakit

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kota Bharu: Dua Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Kelantan menghentikan kemasukan pesakit mulai hari ini sebelum diletakkan dalam keadaan bersedia berikutan kes Covid-19 menunjukkan penurunan sejak seminggu lalu.

Pengarahnya, Dr Mohd Zurairie Mohd Zubir berkata, dua PKRC berkenaan adalah PKRC Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Laut di Tumpat dan PKRC SMK Salor, di sini.

Katanya, dua PKRC berkenaan tidak lagi menerima pesakit baharu dan hanya menghabiskan tempoh kuarantin pesakit sedia ada iaitu 200 pesakit di dua PKRC berkenaan.

“Sebaik kesemua mereka tamat menjalani kuarantin, PKRC berkenaan akan diletakkan dalam keadaan ‘standby mode’. Ia tidak boleh ditutup sepenuhnya kerana kita tidak boleh menjangka keadaan pada masa akan datang.

“Penutupan PKRC hanya akan diputuskan oleh Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Datuk Dr Zaini Hussin selepas mengambil kira beberapa faktor.

“Kakitangan yang bertugas di dua PKRC berkenaan akan dipindahkan ke PKRC yang memerlukan bantuan termasuk di PKRC Tanjong Chat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan di PKRC Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) di sini, hari ini.

Dr Zurairie berkata, setakat ini Kelantan mempunyai 16 PKRC dan kemasukan pesakit agak terkawal memandangkan trend kes semakin menurun.

Katanya, jumlah pesakit semasa di PKRC kini seramai 1,330 individu, manakala jumlah katil di pusat kuarantin berkenaan sebanyak 2,930.

“Kita masih mempunyai katil kosong sebanyak 1,500. Setakat ini purata kapasiti penggunaan di PKRC antara 60 hingga 70 peratus,” katanya.

Sumber: My Metro