Kerajaan negeri komited pulihkan Tasik Chini

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Temerloh: Kerajaan negeri komited pulihkan Tasik Chini bagi memastikan kelestarian alam sekitar Tasik Chini terus terpelihara apabila bersetuju ‘tiada kelulusan baru’ untuk melombong di kawasan terbabit.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, kerajaan negeri bersetuju untuk mewartakan Taman Negeri Tasik Chini seluas 4,600 hektar sebagai Hutan Simpan Chini pada 13 Mac 2019 bagi memastikan kawasan hutan itu dipelihara dan diuruskan dengan baik selari dengan Dasar Perhutanan Negara.

“Bagaimanapun, tidak dinafikan masih terdapat kegiatan perlombongan di situ namun ia bukan baharu seperti ditularkan dan kawasan lombong sedia ada tidak termasuk dalam Hutan Simpanan Kekal.

“Operasi perlombongan di situ dikenakan syarat-syarat tambahan yang ketat bagi memastikan tiada pencemaran daripada aktiviti tersebut. Laporan EIA juga perlu disediakan oleh pihak berkenaan,” katanya.

Menurutnya, kebenaran itu tentunya bukan mudah dan perlu melalui pelbagai proses membabitkan tindakan pihak berkuasa negeri dan agensi Kerajaan Persekutuan di bawah Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA).

Katanya, kuasa kerajaan negeri dalam perkara itu berdasarkan Enakmen Mineral Negeri Pahang 2001, manakala kuasa Kerajaan Persekutuan mengikut Akta Pembangunan Mineral 1994 (Akta 525) menerusi skop kebenaran pengoperasian sesuatu aktiviti perlombongan.

“Ia bermaksud, kegiatan melombong di sesuatu kawasan tidak akan mendapat kelulusan jika tidak membabitkan kerajaan negeri dan Persekutuan.

“Pelbagai aspek diambil kira terutamanya alam sekitar supaya tiada pencemaran daripada kegiatan itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Sharkar berkata, kerajaan negeri komited melaksanakan aspek pemulihan dan pemuliharaan Tasik Chini yang diisytiharkan sebagai tapak rezab biosfera oleh Pertubuhan Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco) pada 2009.

“Pada 2019, kerajaan negeri meluluskan peruntukan projek tanam semula berjumlah RM250,000 bagi menanam semula pokok tutup bumi di bekas lombong.

“Ini bermakna, kawasan lombong tersebut akan dipulihkan selepas operasinya tamat, ” katanya.

Beliau berkata, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang pada 9 Jun lalu turut mengesahkan bahawa kualiti air Tasik Chini dikategorikan bersih.

Menurutnya, terdapat 15 stesen pemantauan kualiti air Tasik Chini di lokasi yang ditetapkan dengan kekerapan pemantauan sekali sebulan di setiap stesen.

Sumber: My Metro