Ronaldo semakin popular di Instagram

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

LONDON: Cristiano Ronaldo terus mencipta sejarah apabila menjadi individu pertama yang mempunyai 300 juta pengikut di laman media sosial, Instagram.

Gambar Hiasan

Bintang bola sepak berusia 36 tahun itu adalah individu yang mempunyai pengikut paling ramai dan jauh meninggalkan pesaing terdekatnya, Dwayne ‘The Rock’ Johnson berada di tempat kedua dengan pengikut seramai 246 juta di Instagram.

Seteru utama Ronaldo, Lionel Messi kurang 81 juta pengikut berbanding bintang Portugal itu dengan 219 juta pengikut ketika ini.

Hanya satu akaun di sosial media yang mempunyai jumlah pengikut lebih ramai berbanding Ronaldo dan ia adalah akaun Instagram sendiri dengan 398 juta pengikut.

Gambar Hiasan

Penyanyi terkenal, Ariana Grande pula mempunyai 244 juta pengikut manakala Kylie Jenner dengan 241 juta pengikut.

Ronaldo masih belum memuat naik status terbaru kejayaannya itu selepas melakukannya ketika meraikan kejayaan meraih 200 juta pengikut pada Januari 2020.

Pada 2019, Ronaldo dilaporkan menerima bayaran sebanyak AS$47.8 juta (RM198 juta) menerusi hantarannya di Instagram. Jumlah bayaran itu membuatkan dia menjadi individu yang paling tinggi menerima bayaran daripada platform perkongsian gambar berkenaan.

Menurut laporan daripada HopperHQ, jumlah pengikut yang cukup ramai itu telah membuatkan Ronaldo berpotensi meraih pendapatan sebanyak £780,000 (RM 4.4 juta) bagi setiap hantarannya.

Pengaruh Ronaldo dibuktikan lagi minggu ini apabila dia mengalihkan botol minuman Cola-Cola ketika sidang media Euro 2020, sebelum ia disusuli dengan kejayaannya meledak dua gol ketika membantu Portugal melakar kemenangan 3-0 ke atas Hungary pada aksi pembukaan, Rabu lalu.

Tindakan Ronaldo itu telah menyebabkan harga saham syarikat Cola-Cola dilaporkan mengalami kerugian AS$4 bilion (RM16.5 bilion)

Sumber: Harian Metro