Kelantan pertimbang CanSino untuk banduan, tahanan imigresen

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Datuk Dr Zaini Hussin

Jeli: Kelantan bercadang untuk mengutamakan pemberian vaksin CanSino kepada golongan tertentu selain penduduk kawasan pedalaman termasuk Orang Asli.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr Zaini Hussin berkata, golongan tertentu yang dipertimbangkan ialah banduan, individu dalam tahanan imigresen dan juga pesakit terlantar.

“Penggunaan vaksin CanSino secara tidak langsung dapat memudahkan urusan pihak berkuasa memandangkan ia hanya memerlukan satu dos suntikan sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Program Outreach Vaksinasi Covid-19 di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Jeli, Bukit Nangka, di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Media sebelum ini melaporkan, kerajaan akan membekalkan vaksin CanSino kepada Kelantan untuk kegunaan penduduk di kawasan pedalaman termasuk penempatan Orang Asli.

Dalam perkembangan lain, Dr Zaini berkata, Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dibuka di setiap daerah untuk mempercepatkan suntikan vaksin kepada orang ramai.

“Bagi memastikan semua penduduk di Kelantan menerima suntikan vaksin, selain PPV awam, kita juga membuka PPV di klinik swasta, hospital swasta, serta mengadakan vaksinasi dari rumah ke rumah dan Program Outreach

“Kita juga optimis bagi memastikan 80 peratus penduduk di Kelantan menerima suntikan vaksin untuk mecapai imuniti kelompok menjelang Oktober ini,” katanya.

Sumber: My Metro