Rakyat Teruja Terengganu Laksana Wad Kelas 3 Percuma

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU, 20 Jun – Rata-rata rakyat di negeri ini teruja dan menyambut baik inisiatif kerajaan yang melaksanakan wad kelas 3 percuma.

Tinjauan di media sosial mendapati orang ramai termasuk rakyat di luar Terengganu gembira selepas Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengumumkan manifesto itu akan bermula 1 Julai.

Seorang pengguna media sosial menyifatkan usaha tersebut bakal memberi banyak manfaat kepada masyarakat.

“Alhamdulillah, terbaik Menteri Besar, semoga memberi manfaat kepada rakyat Terengganu kita,” responnya terhadap kenyataan yang dimuatnaik Ahmad Samsuri hari ini.

Ramai juga di kalangan rakyat yang berterima kasih kepada kerajaan negeri dan barisan Exco kerana menunaikan janji.

“Alhamdulillah, akhirnya dapat dilaksanakan selepas beberapa karenah dihadapi,” ujarnya.

Sementara itu, inisiatif terbaharu kerajaan negeri turut mengundang rasa ‘cemburu’ masyarakat di luar Terengganu.

“Kesiannya saya, suami dan anak sahaja orang Terengganu, saya orang Johor,.

“Untung rakyat Terengganu,” ujar wanita terbabit.

Baru-baru ini kerajaan negeri Terengganu mengumumkan pemberian rawatan perubatan wad kelas tiga secara percuma kepada rakyat negeri ini bermula bulan depan.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu, Dr Alias Razak berkata, kemudahan itu dapat dinikmati di semua hospital kerajaan yang ada di negeri ini.

“Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM3.7 juta setahun bagi menunaikan janji manifesto yang dibuat kepada rakyat negeri ini pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 itu,” jelasnya.

Sumber: TRDI News