Durian terhad, harga tinggi

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Gambar Hiasan

Kuantan: Pengeluaran terhad menjadi antara faktor utama harga buah durian menjadi terlalu tinggi hingga dianggap tidak masuk akal.

Selain itu, kos pengangkutan dan bayaran permit atau lesen berniaga yang dikenakan turut mempengaruhi harga raja buah itu yang kini mula berada di pasaran beberapa negeri di Semenanjung.

Peniaga Mohd Afaza Mazlan, 32, mengakui, setiap tahun harga semua jenis durian kampung dan klon akan tinggi terutama pada peringkat awal buah gugur, disebabkan buah yang terhad dan faktor tiada pilihan.

Menurutnya, sebagai contoh, harga durian kini agak tinggi disebabkan pengeluaran raja buah itu hanya berlaku di Segamat dan Tangkak, Johor sahaja, durian di negeri lain seperti Pahang, Perak, Terengganu dan Kelantan belum gugur lagi.

“Saya yakin selepas ini harga durian akan turun apabila pengeluaran raja buah itu bertambah terutama apabila durian di beberapa negeri yang terkenal dengan buah berduri itu mula gugur.

“Saya difahamkan, durian di beberapa daerah di Pahang seperti Jerantut, Raub, Bentong dan Lipis akan gugur secara serentak pada Ogos depan, faktor berkenaan akan menyebabkan harga durian akan jatuh,” katanya, di sini, hari ini.

Beliau yang berniaga durian di tepi Jalan Gambang-Kuantan dekat Sungai Isap, di sini, menjual durian kampung dan jenis klon dengan harga berbeza mengikut gred dan saiz.

Durian sedia ulas jenis Musang King dan IOI dalam bekas turut dijual.

Mohd Afaza berkata, dia menjual durian kampung dengan harga antara RM8 hingga RM22 sekilogram (kg), Musang King (RM25-RM50kg), IOI (RM30-RM35kg), Udang Merah (RM30kg), D13 (RM22-RM28kg) dan D88 (RM22kg).

Bagi Asrol Hakimi Mohd Ariff, 33, kos pengangkutan, sewa tapak dan permit jualan turut mempengaruhi harga buah durian yang dijual di tepi jalan.

“Faktor persaingan sengit untuk mendapatkan buah durian klon seperti Musang King menyebabkan harga raja buah itu begitu tinggi hingga membebankan pengguna.

“Buah durian Musang King kini di eksport ke Singapura dan China, kekurangan durian jenis berkenaan menyebabkan harganya menjadi tinggi,” katanya yang lebih 10 tahun berniaga durian.

Sumber: My Metro