11 kru Vietnam candat sotong di kawasan larangan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuantan: Dua tekong dan sembilan kru warga Vietnam ditahan bersama dua bot tempatan kerana kesalahan mencandat sotong di kawasan 10 batu nautika di perairan Pekan dekat Kuala Pahang, semalam.

Mereka yang ditahan berusia antara 23 hingga 49 tahun, manakala 500 kilogram (kg) sotong dirampas.

Pengarah Jabatan Perikanan Pahang Abdullah Jaafar berkata, dua bot itu disedari anggota Cawangan Perlindungan Sumber (CPS) jabatan berkenaan ketika melakukan rondaan pada 5.15 pagi.

Menurutnya, aktiviti menangkap sotong bagi kelas bot berkenaan hanya dibenarkan di kawasan 12 batu nautika ke atas sahaja, namun ketika ditahan, dua bot milik rakyat tempatan berada di kawasan 10 batu nautika.

“Bagi kesalahan melanggar syarat lesen itu, mereka boleh didakwa mengikut Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 yang sabit kesalahan boleh dikenakan denda RM20,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya mengikut Seksyen 25 akta yang sama,” katanya.

Beliau berkata, dua bot bersama 11 kru warga Vietnam kini ditempatkan pangkalan CPS Jabatan Perikanan Pahang, Padang Lalang, di sini sementara bot pukat tunda ditempatkan di jeti nelayan Endau untuk proses tindakan undang-undang.

Sumber: My Metro