12 hektar Hutan Simpan Kelau diceroboh

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

RAUB: Pejabat Hutan Daerah (PHD) Raub bertindak memusnahkan ribuan pokok pisang dan durian klon Musang King dalam kawasan seluas lebih 12 hektar yang ditanam secara haram di Kompartmen 48, Hutan Simpan Kelau, di sini semalam.

Turut dimusnahkan pokok nangka, cempedak dan petai yang ditanam secara berperingkat dipercayai diusahakan tiga indivdu tempatan.

Pegawai PHD Raub, Shahril Mohamad, berkata operasi memusnahkan pokok di kawasan itu bermula 9 pagi semalam disertai 30 kakitangan dibantu Unit Tindakan Khas (UTK) Raub dan Unit Penguatkuasa (UPK) Zon Pahang Barat Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) serta di bawah pengawasan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub.

Katanya, siasatan mendapati dalam kawasan berkenaan terdapat lebih 4,000 pokok pisang pelbagai jenis yang telah mengeluarkan hasil dan kira-kira 350 durian Musang King berusia antara enam bulan hingga tiga tahun.

Katanya, pihaknya turut mencerobohkan pondok atau rumah kongsi sementara yang dibina, dipercayai tempat tinggal indivdu dan pekerja ladang berkenaan.

“Ketika operasi dijalankan tiada individu dalam kawasan berkenaan, dipercayai meninggalkan tempat itu sebelum serbuan.

“Operasi pemusnahan ladang haram itu dijangka mengambil masa selama empat hingga lima hari,”katanya yang turut menyertai operasi berkenaan, semalam.

Ribuan pokok pisang di tanam secara haram di Hutan Simpan Kelau dimusnahkan pegawai PHD Raub
Gambar :NSTP

Shahril berkata, usaha memusnahkan tanaman ditanam secara haram itu mengambil masa panjang kerana mereka yang terbabit dalam operasi itu menggunakan parang untuk menebang lebih 4,000 pokok pisang dan durian Musang King bersaiz kecil.

Katanya, kedudukan ladang berkenaan bersebelahan dengan Lebuh Raya Central Spine Road (CSR) yang sedang dalam pembinaan seolah menjadi pelindung pada individu terbabit melakukan kesalahan sebelum ini.

“Sebahagian pokok pisang dan nangka sudah mengeluarkan hasil dan ia dipercayai dipasarkan di daerah ini.

“Kita tidak akan berkompromi dan bertolak ansur dengan individu yang bertindak menceroboh hutan simpan di daerah ini, tindakan akan diambil mengikut Akta Perhutanan Negara 1984,”katanya

Sumber: Berita Harian