KUALA TERENGGANU: Masalah capaian internet yang lemah di Kampung Ulu Seladang dekat Permaisuri, Setiu akan dapat diatasi sepenuhnya pada akhir Ogos ini.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam satu kenyataan memaklumkan ketika ini kerja menaik tarfa menara komunikasi di kampung itu sedang giat dijalankan di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA)
“Apabila kerja naik taraf menara komunikasi itu siap kelak, kualiti liputan 4G akan turut memberi manfaat kepada lebih 1,000 penduduk di tiga kampung berdekatan iaitu Kampung Besut, Kampung Bayas dan Kampung Padang,” menurut kenyataan itu.
Media pada Sabtu lepas telah melaporkan masalah capaian internet yang lemah di kampung berkenaan.
Susulan itu, Pengarah MCMC Terengganu Mohd Fairus Mohamad turun padang bersama wakil penyedia perkhidmatan untuk melakukan siasatan.
“Hasil tinjaun yang dijalankan mendapati liputan internet di kampung itu terhad kepada 3G sahaja dan menyebabkan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) untuk pelajar di kampung itu kurang lancar.
“Langkah penyelesaian yang diambil diharap dapat mengatasi sepenuhnya masalah penduduk kampung-kampung itu tidak lama lagi,” demikian menurut kenyataan itu.
Sumber: BERNAMA