ORANG ASLI PANTOS BAKAL NIKMATI PEMBANGUNAN EKONOMI BAHARU

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN: Kerajaan Pahang menerusi mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri kelmarin (23 Jun 2021) telah meluluskan cadangan merizabkan 510.6 hektar atau 1,261.7 ekar Tanah Kerajaan bagi Maksud Awam di Kampung Pantos, Mukim Hulu Jelai, Lipis. YAB.

Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, cadangan perizaban ini ialah di bawah Seksyen 62, Kanun Tanah Negara (KTN) (Akta 828) di mana tujuannya antara lain untuk menjadikan sebahagian daripada kawasan rizab ini sebagai tapak projek ekonomi baharu bagi Orang Asli terlibat.

Beliau berkata, projek ekonomi baharu yang dimaksudkan ialah cadangan penanaman pokok durian bermutu tinggi yang bakal dimajukan secara usaha sama oleh syarikat milik Kerajaan Negeri, dengan swasta.

“Manfaat terus yang akan diperolehi oleh Orang Asli di kawasan ini kelak berupa dividen atau keuntungan daripada pengusahahasilan oleh syarikat usaha sama berkenaan.

“Ada 352 keluarga dan 1,940 orang penduduk Orang Asli yang sudah pun lama menetap dalam kawasan yang bakal dirizabkan ini.

Dalam kawasan sama telah pun wujud projek ekonomi yang Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) majukan dengan tanaman kelapa sawit dan getah, dan dimanfaati Orang Asli menerusi penerimaan dividen atau keuntungan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook beliau, 25 Jun lalu.

Beliau juga berkata, dengan kelulusan yang MMK beri kepada cadangan perizaban ini beliau percaya, ia akan memberi manfaat serampang dua mata kepada penduduk Orang Asli terlibat iaitu aspek jaminan kawasan penempatan dan projek-projek ekonomi yang memanfaatkan mereka.

Sumber: PAHANG MEDIA